FATTAH timba banyak pengalaman terbabit dalam filem dari negara jiran.
FATTAH timba banyak pengalaman terbabit dalam filem dari negara jiran.
Syafil Syazwan Jefri


REZEKI tidak pernah salah alamat. Itulah yang dapat menggambarkan usaha keras pelakon, Fattah Amin yang kini membuahkan hasil.

Kini, Fattah mula mencari rezeki di sebrang dengan membintangi filem seram dari Indonesia, Trinil: Kembalikan Tubuhku, arahan pengarah, Hanung Bramantyo.

Berkongsi pengalamannya bekerja di bawah arahan pengarah dari negara jiran itu Fattah mengakui ia pengalaman cukup menarik.

"Mas Hanung adalah pengarah hebat. Orang tengok hasil kerja dia pun orang dah tahu. Saya rasa, ini semua rezeki. Saya pun tak sangka sebab baru beberapa filem di Malaysia. Tiba-tiba, dapat dilamar oleh pengarah hebat dari Indonesia.

"Dia pula dah lama tak hasilkan filem seram. Jadi, ramai teruja untuk menonton filem arahan Mas Hanung ini. Tapi, Alhamdulillah, saya rasa komunikasi antara semua yang terbabit sangat baik," katanya.

Berkongsi mengenai hubungan baik antara produksi, pelakon dan dirinya sebagai pendatang baharu di sana, Fattah berkata, dia 'jatuh cinta' dengan budaya kerja mereka.

"Bila kita ada hubungan dan perkongsian itu, bila masing-masing faham tugasan, walaupun kita dari negara lain, mereka pun tak ada mengenepikan saya. Kat mana-mana mereka akan ajak saya berbincang bersama. Itu yang saya suka budaya di sana," katanya.

Ditanya mengenai cara kerja produksi filem di Indonesia, Fattah berkata, semuanya tersusun dengan cantik terutamanya, pemahaman watak.

FATTAH Amin gembira dapat bekerjasama dengan Mas Hanung, suka dengan budaya kerja di sana.
FATTAH Amin gembira dapat bekerjasama dengan Mas Hanung, suka dengan budaya kerja di sana.

"Sedikit berbeza. Contohnya, proses membaca skrip, kalau di sana agak lama. Kadang, memakan masa berhari dan berminggu. Mereka di sana mementingkan aspek pelakon harus betul-betul faham, sesuatu watak.

"Jadi, perlu ambil masa pun tak mengapa, kerana yang penting adalah, pelakon betul-betul faham, baru mulakan penggambaran.

"Di sana disediakan jurulatih lakonan. Kemudian, latihan pun agak lama dan ada latihan penuh dengan pakaian yang akan dipakai sewaktu penggambaran, di set sebenar sebelum kita mulakan penggambaran.

"Bila dah buat proses itu, proses penggambaran jadi mudah dan lebih cepat sebab pelakon dah bersiap sedia dari semua sudut. Itu perbezaan yang saya rasakan," katanya.

Tambah Fattah lagi, penyusunan jadual dan waktu bekerja juga turut menarik perhatiannya.

"Waktu kerja agak tersusun. Paling maksimum, jam 10 malam dah selesai. Tak ada sampai waktu Subuh. Mereka sangat menjaga jadual kerja. Di sana, kru lagi ramai. Mereka akan pastikan semuanya terjaga," katanya.

Tambah Fattah, satu lagi perbezaan ketara antara proses pembikinan filem di Indonesia dengan Malaysia adalah, wujudnya tayangan awal untuk pelakon.

FATTAH memegang watak sebagai Yusof dalam filem Trinil: Kembalikan Tubuhku.
FATTAH memegang watak sebagai Yusof dalam filem Trinil: Kembalikan Tubuhku.

"Di sana, ada tayangan awal untuk pelakon-pelakon sebelum dipertontonkan kepada media dan sebagainya.

"Daripada apa yang saya tahu, dari tayangan awal untuk pelakon itu, andai kata ada babak yang pelakon rasa tak berkenan atau tak puas hati, mereka boleh maklumkan untuk buat pembetulan semula dan sunting," katanya.

Dalam filem Trinil: Kembalikan Tubuhku, Fattah memegang peranan sebagai doktor dan dukun yang berasal dari Malaysia, bernama Yusof. Cabaran utamanya adalah, apabila ada babak yang memerlukannya berdialog dalam Bahasa Jawa.

"Sewaktu saya mula-mula dapat tahu, akan pegang watak dukun, saya faham karakter itu. Tapi, bila diberitahu bahawa saya sebenarnya bukan membawa watak dukun sahaja, tapi perlu membaca mantera Jawa, itu yang sebenarnya membuatkan saya gemuruh.

"Saya kaji maksud di sebalik mantera itu, ia tak membawa maksud bukan-bukan, atau memuja hantu dan sebagainya. Jadi, saya rasa okaylah. Ini saya boleh bawakan.

"Bukan sahaja mantera, tapi, ada juga dialog ketika saya berbicara dengan hantu itu, menggunakan Bahasa Jawa. Bagi saya sebagai pelakon, itu sesuatu yang menarik.

"Agak lama juga untuk saya hafal Bahasa Jawa itu. Kalau nak belajar betul-betul, mungkin ambil masa lama. Jadi, saya hafal dan fahami maksudnya," katanya.

Selain Fattah, filem itu turut dibintangi barisan pelakon Indonesia antaranya Carmela van der Kruk, Rangga Nattra, Wulan Guritno, Shalom Razade, Alexzander Wlan, Willem Bevers, Elly D Luthan dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 6:40 AM