Fattah bersama peminat di Indonesia
Fattah bersama peminat di Indonesia
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Fattah Amin berkesempatan bertemu dengan peminat yang beremosi dan menangis kerana watak Yusuf yang dilakonkannya dalam filem seram Indonesia, Trinil: Kembalikan Tubuhku.

Fattah, 34, ketika ditemui di sidang media filem itu berkongsi, dia bersyukur kerana percubaan pertamanya membintangi filem di Indonesia diterima baik.

"Salah seorang pelakon iaitu Rangga beritahu saya, mereka adakan promosi dari pawagam ke pawagam. Satu hari, bila keluar dari satu pawagam di satu lokasi, ada seorang penonton yang menangis selepas keluar dari pawagam dan pukul-pukul Rangga.

"Sebab watak Sutan lakonan Rangga itu melakukan sesuatu kepada watak Yusuf. Jadi, tak sangka pula watak Yusuf ini boleh buatkan penonton menangis.

"Jadi, bila saya ke sana sertai promosi mereka, saya dipertemukan dengan kanak-kanak perempuan itu. Dia memang nampak gembira," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Fattah, kanak-kanak perempuan itu sanggup datang dari Bandung ke Jakarta untuk bertemunya.

"Budak itu sanggup datang dari Bandung ke Jakarta untuk berjumpa saya. Walaupun gembira, dia menangis juga. Saya tanya kenapa, dia cakap sedih sebab nasib yang menimpa watak Yusuf," katanya.

Tambah Fattah, dia juga membaca banyak reaksi positif di media sosial mengenai watak Yusuf yang dilakonkannya.

"Kemudian, orang mula bercakap mengenai watak Yusuf. Di media sosial pun seperti YouTube, saya baca komen, ramai cakap suka dengan watak Yusuf.

"Mereka tak pernah tengok saya, jadi, mungkin bila nampak saya dalam filem ini, mereka nampak kewujudan saya.

"Mungkin ada yang dah kenal dari filem Mat Kilau, tapi, kali ini, mungkin ia berjaya menarik perhatian peminat filem seram.

"Diarahkan pula oleh Mas Hanung yang cukup dikenali. Jadi, bila mereka lihat watak Yusuf, ia satu watak menarik sebab ada plot twist. Jadi, ada yang teremosi juga.

"Di situ, saya rasa bersyukur sebab walaupun kali pertama, ia diterima baik," katanya.

Dalam filem Trinil: Kembalikan Tubuhku, Fattah melakonkan watak Yusuf yang juga seorang pakar psikiatris dan dukun yang membantu keluarga Sutan dan Rara yang berdepan dengan hantu penanggal.

Selain Fattah, filem arahan pengarah Hanung Bramantyo ini turut dibintangi Carmela van der Kruk, Rangga Nattra, Wulan Guritno, Shalom Razade dan ramai lagi.

Filem ini ditayangkan di Indonesia pada 4 Januari lalu, manakala di Malaysia dan Singapura, ia akan mula ditayangkan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 6:41 PM