NAD lakon watak Mastura, seorang pesakit HIV menerusi telefilem Matahari Tak Bercahaya.
NAD lakon watak Mastura, seorang pesakit HIV menerusi telefilem Matahari Tak Bercahaya.
Sudirman Mohd Tahir


SETIAP drama lakonannya memberikan impak terhadap penonton.

Apa saja watak, nama Nad Zainal pasti menjadi sebutan. Biarpun watak itu mendapat kecaman sekali pun, tapi mutu lakonannya tetap diperkatakan.

Dari awal kemunculan, Nad, 32, atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin begitu bekerja keras dalam memberikan lakonan terbaik dalam setiap karya yang dilakonkan.

Tidak mustahil dia dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik Drama (Fatonah Azali) pada Anugerah Skrin 2018.

Persembahan cemerlang Nad itu melayakkan dirinya mendapat bayaran setimpal dengan apa dikerjakan. Biarpun soal bayaran masih menjadi isu dalaman kebanyakan penggiat seni tempatan, Nad juga pelakon drama Dendam Seorang Isteri bersyukur dia masih menerima apa yang sepatutnya diterima.

"Jujurnya, saya tak terkesan. Sebab apa saya terima sekarang berbaloi dengan apa saya buat. Kita dah kira pelbagai aspek, jadi semuanya okay. Bagi saya untuk bayaran ini ia sebenarnya okaylah industri kita ini," katanya.

Pastinya, apa yang menjadi keutamaan Nad sebagai pelakon adalah cara bagaimana dia menghidupkan sesuatu watak.

Biarpun sudah sering diberikan watak berat dan dianggap 'makanan' buat dirinya, Nad akui, dia tetap perlu membuat kajian dan tidak boleh terlalu selesa.

PERTAMA kali bergandingan dengan Fattah selaku watak utama.
PERTAMA kali bergandingan dengan Fattah selaku watak utama.

Terbaharu, Nad melakonkan watak Mastura, seorang pesakit HIV menerusi telefilem terbitan Zeel Production, Matahari Tak Bercahaya yang bakal ditayangkan di Slot Cerekarama, TV3, pada 11 Jun depan.

Menurut Nad yang ditemui di lokasi penggambaran telefilem itu, watak Mastura memberikan cabaran tersendiri dan dia sehabis daya memberikan yang terbaik.

"Cabaran pertama, saya rasa sebab ia diinspirasikan dari kisah benar. Kedua sebab kalau tengok watak yang banyak diberikan kepada saya adalah sama, watak wanita dominan, wanita kasar, jadi kali ini Zeel Production bagi cabaran buat watak lemah lembut, teraniaya, sakit dan semua 'all in one'. Pendek kata, permainan emosi sangat berat. Kemudian, pertama kali berlakon dengan Fattah Amin pula.

"Semua pasukan sangat membantu, jadi gembira. Saya memang nak sangat berlakon dalam cerita macam ini yang lain sikit. Bukan cerita cinta saja, rebut suami, kena tampar, saya pun dah muak," katanya.

Mengenai lakonannya yang pertama kali bergandingan dengan Fattah selaku watak utama, Nad berkata, suami kepada Fazura itu sudah mencapai tahap kematangan dalam lakonan.

"Jujur cakap, saya tengok Fattah dalam drama Khilaf Asmara, wow sangat! Dia macam dah betul-betul 'comeback'. Apabila digandingkan dalam telefilem ini, saya 'looking forward' sangat sebab apa yang Fattah akan bagi.

"Saya risau juga, gementar nak berlakon dengan suami orang dan isterinya pula Fazura. Saya tanya Fattah, kalau ada apa-apa yang kurang senang, selesa, beritahu saya awal-awal, tapi dia okay saja.

"Pada hari pertama kami dah 'ice breaking'. Gembira sebab kami dapat capai kematangan dalam lakonan. Dia pun dah menjadi seorang bapa dan suami, saya rasa amat membantu untuk kami menjayakan semua babak berat. Apatah masing-masing sudah ada pengalaman nak urus anak dan emosi. Maka menjadi lakonan kami dalam cerita Matahari Tak Bercahaya ini," katanya.

SEHABIS daya berikan yang terbaik untuk watak Mastura dalam Matahari Tak Bercahaya.
SEHABIS daya berikan yang terbaik untuk watak Mastura dalam Matahari Tak Bercahaya.

Berkongsi lanjut mengenai telefilem arahan Nurlina Syafiqah Zakbah yang juga dikenali sebagai Uchee Fukada, Nad berkata, naskhah hasil tulisan Maizura Ederis dan Marr Mohamad itu banyak mesej dan pengajarannya.

"Watak Mastura adalah penjaga taska yang bertugas menjaga anak-anak tadika. Dia juga isteri kepada Shazan lakonan Fattah. Mereka ini hidup dalam keadaan gembira di kampung dan disenangi orang kampung.

"Cumanya dia ada masalah senggugut yang boleh tumpah darah dengan banyak. Ada satu insiden dia perlu ke hospital menerima rawatan dan berlaku kejadian tidak diminta apabila dijangkiti HIV.

"Dari situ perjalanan hidupnya berubah, dari disenangi dibenci. Sekitar 1980-90 an HIV ini tabu, orang takut dan memang hangat diperkatakan. Jadi, banyak pandangan negatif dilemparkan pada keluarganya hingga mengganggu hubungan rumah tangga dan kerjanya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nad sekali lagi bakal muncul dalam drama terbitan Radius One iaitu Cina Buta untuk siaran Slot Mega Drama Astro.

"Saya juga bakal terbabit dalam filem Denur, arahan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar. Ia kisah benar berlatarbelakangkan 1950-an memaparkan propaganda politik, macam mana nak masuk Kelantan melalui makyung. Mungkin ada Sabri Yunus dan Hairi Safwan," katanya.

Selain Nad, pelakon lain yang terbabit ialah Fattah Amin, Noorkhiriah, Lydiawati, Hafreez Adam, Esma Daniel, Aidit Noh, Mimi Ernida dan Irfan Zaini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 6:30 AM