Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Sepasang suami isteri dan dua anak mereka maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 1.40 tengah hari itu, pasangan suami isteri dan anak mereka yang maut di lokasi kemalangan ialah Syukran Jamil Ab Hamid, 35, Noor Aishah Razali, 35, dan Lufya Adeena Syukran Jamil, setahun.

Seorang lagi anak mereka, Ahya Rafiqi Syukran Jamil, 6, meninggal dunia pada jam 3.15 petang tadi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, di sini.

Bagaimanapun seorang lagi anak pasangan berkenaan, Attar Azim Syukran Jamil, 9, terselamat dan sedang mendapatkan rawatan di hospital sama.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Myvi dipandu Syukran Jamil dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang.

KEADAAN salah sebuah kenderaan yang remuk teruk dalam kemalangan maut di Jalan Gua Musang- Kuala Krai dekat Kampung Pahi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KEADAAN salah sebuah kenderaan yang remuk teruk dalam kemalangan maut di Jalan Gua Musang- Kuala Krai dekat Kampung Pahi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Manakala Nissan March yang dipandu warga negara Thailand, Sulaiman Yakoh, 39, dari Gua Musang menghala ke Kota Bharu.

"Setibanya di lokasi kejadian, Nissan March masuk ke laluan Perodua Myvi menyebabkan kedua-duanya bertembung," katanya menerusi kenyataan.

Kamarulzaman berkata, dalam kejadian itu, pemandu Nissan March parah di bahagian kaki dan dada.

"Manakala penumpangnya, Noreena Asami, 35, cedera parah di bahagian muka dan dirawat di hospital yang sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis menjalankan siasatan secara terperinci.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan ini boleh menyalurkannya dengan menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai," katanya.

Beliau berkata, polis juga menasihatkan orang awam sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 9:49 PM