ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Tiga beranak maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Gua Musang- Kuala Krai dekat Kampung Pahi, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, empat lagi mangsa mengalami kecederaan.

Katanya, kejadian itu membabitkan dua kenderaan iaitu kereta Perodua Myvi dan Nissan March.

"Terdapat lima individu di dalam Perodua Myvi dan tiga daripadanya adalah kanak-kanak, manakala di dalam kereta Nissan March terdapat dua individu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat mangsa yang tersepit dan anggota bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa dalam keadaan hujan," katanya.

Nik Ahmad Afsham berkata, seramai lapan anggota termasuk pegawai dari BBP Kuala Krai bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan.

"Tiga mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, manakala empat lagi yang cedera dibawa ke hospital yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 3:38 PM