ATTAR Azim, sebak selepas jenazah ibu bapa dan dua adiknya dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara, di Tanjung Malim, malam tadi. FOTO Muhamad Lokman Khairi
ATTAR Azim, sebak selepas jenazah ibu bapa dan dua adiknya dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara, di Tanjung Malim, malam tadi. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Tanjung Malim: "Tunggu tau Attar di syurga. Nanti dah tak boleh peluk dah, sebab keluarga Attar dah pergi alam lain."

Demikian kata-kata Attar Azim Syukran Jamil, 9, semasa menyiram air ke atas pusara ibu bapanya, Syukran Jamil Ab Hamid dan Noor Aishah Razali masing-masing berusia 35 tahun serta dua adiknya, Ahya Rafiqi Syukran Jamil, 6, dan Lufya Adeena yang berusia setahun.

Empat beranak berkenaan maut selepas terbabit kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, Kuala Krai, Kelantan, pada Sabtu, yang menyebabkan Attar Azim menjadi yatim piatu dan kehilangan semua adiknya dalam sekelip mata.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, ibu bapanya selalu berpesan berkenaan persediaan untuk memasuki Ramadan serta adab dengan orang tua.

"Abah kata, kena doa banyak-banyak supaya boleh puasa.

"Abah kata puasa tu best, ada banyak pahala tapi abah kata kena doa banyak-banyak. Ada orang yang tak dapat puasa, jadi dia tak dapat kumpul banyak pahala.

"Mak kata pula kalau belajar pandai, tapi tak hormat ibu bapa tiada guna," katanya sebak semasa ditemui pemberita sejurus selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara di sini, malam tadi.

Terdahulu, jenazah empat beranak itu dibawa menaiki tiga van dari Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, dan tiba di kediaman keluarga di Felda Trolak Utara, jam 9.30 malam.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Jamek Al-Ridhuaniah dan disolatkan oleh lebih 200 jemaah, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara, jam 10.10 malam dan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad, 50 minit kemudian.

Dalam pada itu, datuk kepada Attar Azim, Razali Abdullah Hamid, 61, berkata, ahli keluarga kedua-dua belah masih berbincang berkenaan hak penjagaan Attar Azim memandangkan ramai antara mereka sanggup mengambil tanggungjawab itu.

Menurutnya lagi, Attar Azim perlu menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Slim River minggu depan untuk memastikan tiada kecederaan dalaman lain akibat impak perlanggaran terbabit.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari Sabtu lalu, Perodua Myvi dinaiki Syukran Jamil sekeluarga bertembung dengan sebuah Nissan March mengakibatkan Syukran Jamil, Noor Aishah dan Lufya Adeena maut di lokasi kejadian.

Anak kedua pasangan berkenaan, Ahya Rafiqi pula meninggal dunia pada 3.15 petang Sabtu ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Kelantan.

Attar Azim adalah satu-satunya penumpang di dalam Perodua Myvi itu yang terselamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 7:37 AM