ANTARA kuku dan gigi taring harimau serta beruang yang dirampas.
ANTARA kuku dan gigi taring harimau serta beruang yang dirampas.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Aktif menjual ratusan kulit, kuku harimau dan kuku beruang yang sudah 'diisi' jampi serapah kepada golongan yang percaya terhadap kuasa mistik.

Itu aktiviti dilakukan seorang lelaki tempatan berusia 30-an dikesan menawarkan pelbagai bahagian hidupan liar dilindungi didakwa mampu dijadikan tangkal penguat semangat, pelaris perniagaan serta pengasih memikat wanita.

Difahamkan suspek terkenal dengan gelaran Tok Rimau aktif menawarkan bahagian hidupan liar itu di media sosial termasuk aplikasi TikTok dengan menjualnya pada harga hingga RM5,000 setiap satu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan ditumpaskan hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 1/2024 Zon Timur dilakukan sepasukan pegawai Unit Jenayah Hidupan Liar atau Wildlife Crime Unit (WCU) dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, serbuan dilakukan jam 8.40 malam kelmarin di kediaman suspek di Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bahru, Kelantan.

"Penghuninya seorang lelaki tempatan ditahan untuk pemeriksaan sebelum kediaman diperiksa.

"Hasilnya pegawai Perhilitan menemui ratusan kuku dan gigi dipercayai spesies harimau Malaya, harimau kumbang, kuku beruang dan kulit haiwan.

"Turut ditemui tanduk kijang, rantai dan perhiasan dihasilkan menggunakan bahagian hidupan liar. Selain itu kami merampas tengkorak, gigi, tulang, taring dan kulit pelbagai hidupan liar lain," katanya.

Dia berkata, suspek mendakwa memperoleh semua bahagian hidupan liar dilindungi itu dari Thailand.

"Bagaimanapun, kami mengesyaki ia haiwan asal negara ini dan disyaki diburu secara haram bagi mendapatkan bahagian hidupan berkenaan," katanya.

Menurutnya, semua bahagian hidupan liar yang dirampas dianggar bernilai hampir RM300,000.

"Susulan itu suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kota Bahru untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.

"Jika sabit kesalahan didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Manakala bagi Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak lebih daripada RM500,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun," katanya.

Sementara itu berdasarkan pemerhatian wartawan di laman TikTok milik lelaki terbabit mendapati suspek turut menjual tulang geraham harimau, tulang rusuk harimau belang, loket kulit harimau, tengkorak harimau dan pelbagai objek lain.

Malah suspek menawarkan taring buaya, taring mawas dan pelbagai bahagian hidupan liar lain didakwa memiliki 'khasiat' dan kebaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 8:00 AM