PEGAWAI polis dan Perhilitan melakukan pemeriksaan terhadap premis milik peniaga tempatan yang menyimpan bahagian hidupan liar secara haram.
PEGAWAI polis dan Perhilitan melakukan pemeriksaan terhadap premis milik peniaga tempatan yang menyimpan bahagian hidupan liar secara haram.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Sekali pandang kedai ini dilihat hanya menjual akar kayu untuk perubatan tradisional. Namun pemeriksaan lanjut mendapati ia dijadikan 'pusat' penyimpanan pelbagai barangan hidupan liar dilindungi secara haram.

Premis terletak di Chow Kit di sini, dikesan pihak berkuasa turut menawarkan kulit, kuku dan gigi harimau untuk dijadikan 'tangkal' pendinding.

Kegiatan jenayah menjual bahagian bahagian haiwan liar itu dibongkar hasil risikan dan serbuan bersama dilakukan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dan sepasukan anggota dan pegawai polis Bukit Aman menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).

GADING gajah, tanduk rusa, kuku dan gigi haiwan liar yang turut dijual di sebuah premis di Chow Kit.
GADING gajah, tanduk rusa, kuku dan gigi haiwan liar yang turut dijual di sebuah premis di Chow Kit.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, serbuan dilakukan jam 3 petang semalam turut dibantu 10 anggota dan pegawai polis.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 60-an ditahan selepas disyaki sebagai pemilik premis berkenaan.

"Hasil pemeriksaan dilakukan menemui tujuh gading gajah yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini.

"Selain itu, pihak berkuasa turut menemui satu batang tongkat disyaki dihasilkan menggunakan tulang kaki kijang.

"Selain itu, turut ditemui adalah ratusan duri landak yang siap diikat, tanduk rusa, bungkusan plastik berisi kepala tenggiling dan organ buaya," katanya.

GADING gajah dirampas dipercayai diseludup masuk ke negara ni.
GADING gajah dirampas dipercayai diseludup masuk ke negara ni.

Kadir berkata, turut ditemui lima keping kulit harimau dan bulu harimau.

"Turut ditemui sejumlah 71 gigi dan kuku haiwan liar disyaki harimau. Kesemua objek berkaitan hidupan liar dilindungi yang dirampas itu dianggarkan bernilai lebih RM400,000.

"Setakat ini, pihak kami percayai semua bahagian hidupan liar itu diniagakan untuk tujuan mistik antaranya dijadikan tangkal mistik. Selain itu, ia turut dijadikan koleksi peribadi segelintir pihak yang meminati objek pelik," katanya.

BULU harimau yang turut dirampas di premis berkenaan.
BULU harimau yang turut dirampas di premis berkenaan.

Beliau berkata, operasi bersama polis itu dapat mengekang aktiviti penjualan dan pembelian bahagian hidupan liar secara haram melalui penjualan atas talian atau di media sosial.

Menurutnya, semua bahagian hidupan liar itu dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Pindaan 2022) [Akta 1646].

TARING dan kuku harimau turut dirampas.
TARING dan kuku harimau turut dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 12:00 PM