KULIT harimau yang dirampas Perhilitan susulan serbuan di restoran di Sentul. FOTO Ihsan Perhilitan
KULIT harimau yang dirampas Perhilitan susulan serbuan di restoran di Sentul. FOTO Ihsan Perhilitan
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Mungkin ia disifatkan pembawa tuah apabila pemilik sebuah restoran sengaja mempamerkan kulit harimau belang (Panthera tigris jacksoni) yang sudah diawet di dalam premis.

Tindakan itu bagaimanapun mengundang padah apabila restoran terletak di Sentul di sini, itu diserbu sepasukan penguatkuasaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Rabu lalu.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pemeriksaan mengejut dilakukan di premis perniagaan itu susulan maklumat diterima pihaknya.

"Hasil pemeriksaan mengejut itu, pegawai Perhilitan Kuala Lumpur merampas satu trofi disyaki kepala rusa, kulit harimau dan kulit beruang.

"Siasatan lanjut terhadap pemiliknya warga tempatan mendapati dia tidak mempunyai lesen atau permit menyimpan bahagian hidupan liar itu," katanya.

Susulan itu semua barangan dirampas dibawa ke Jabatan Perhilitan Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes berkenaan bakal disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah, pelakunya boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kadir berkata, berdasarkan rekod, sebanyak tiga kulit harimau belang dirampas pihaknya di Kuala Lumpur antara 2015 hingga kini.

"Dua kes rampasan berlaku pada 2015 manakala satu kes rampasan dilakukan tahun ini.

Beliau berkata, pelbagai program dan inisiatif penguatkuasaan sudah dan sedang dilaksanakan Perhilitan dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mengekang kegiatan pemburuan hidupan liar ini.

Menurutnya, perhatian serius diberikan pihaknya dalam usaha menyelamatkan harimau Malaya berikutan jumlahnya semakin berkurangan.

Pada 3 November 2019, seorang penjawat awam ditahan polis kerana memiliki kulit dan organ harimau belang dalam serbuan di sebuah rumah di Bunut Perol, Nilam Puri di Kota Bharu, Kelantan.

Lelaki berusia 52 tahun itu ditahan menerusi Operasi Khazanah yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perhilitan.

Hasil operasi itu, polis menemui kulit kepala harimau belang yang dikeringkan, satu kuku harimau, dua gigi taring dan satu keping kulit harimau dalam rumah itu.

Sementara itu pada 6 Julai 2018, empat lelaki dan dua wanita Vietnam ditahan pegawai Perhilitan selepas didapati menyimpan beberapa bahagian hidupan liar termasuk kulit, taring dan kuku harimau tanpa dokumen sah di kilang papan di Kuala Lipis Pahang.

Misai harimau didakwa boleh sembuhkan sakit gigi

Tidak hanya diburu secara haram kerana kulit, malah organ lain harimau belang seperti otak, testis, bola mata, tulang dan misai turut mempunyai 'harga' luar biasa.

Berdasarkan maklumat, hampir semua organ dan bahagian harimau mempunyai nilai istimewa dalam perubatan tradisional Cina.

Kepercayaan dipegang ratusan tahun ini mendakwa organ harimau belang memiliki nilai farmaseutikal dan boleh digunakan untuk merawat penyakit saraf atau epilepsi hinggalah mampu memulihkan mati pucuk.

Wujud kepercayaan lemak harimau yang dijadikan ubat sapu bagi merawat sakit sendi, demam dan reumatik.

Manakala misai harimau boleh menyembuhkan sakit gigi selain otak harimau boleh digunakan bagi merawat jerawat.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, bukan menjadi rahsia bahawa setiap anggota badan harimau menjadi ramuan dalam perubatan tradisional China.

Menurutnya, wujud juga kepercayaan serbuk tulang harimau boleh merawat ulser, kepialu, malaria, radang usus, melecur dan pelbagai penyakit lain.

KULIT harimau mampu dijual RM100,000 bagi  setiap seekor. FOTO Ihsan Perhilitan
KULIT harimau mampu dijual RM100,000 bagi setiap seekor. FOTO Ihsan Perhilitan

"Malah penghasilan minuman keras wain harimau bernilai beribu ringgit turut menjadi faktor haiwan liar dilindungi ini dibunuh. Malangnya masih ada yang percaya minuman ini boleh menyembuhkan pelbagai penyakit, mengubat mati pucuk dan memanjangkan usia," katanya.

Kadir berkata, kesukaran mendapatkan bekalan tulang harimau Asia menyebabkan pembekal serta pemburu haram berusaha mendapatkan tulang singa Afrika bagi memenuhi permintaan di pasaran gelap.

Beliau berkata, kulit harimau sebagai lambang kemegahan turut memiliki harga tinggi hingga mencecah RM100,000 setiap satu.

"Berdasarkan kes disiasat Perhilitan sebelum ini, seekor harimau dewasa jantan berharga mencecah RM300,000 di pasaran gelap meliputi seluruh anggota badan termasuk daging, tulang, kulit, kuku dan organ.

Menurutnya, kepercayaan tanpa bukti saintifik ini antara punca harimau di seluruh dunia diburu untuk memenuhi permintaan pengamal perubatan tradisional ini.

"Keadaan diburukkan apabila perdagangan 'gelap' hidupan liar di peringkat antarabangsa adalah ketiga paling menguntungkan selepas penyeludupan dadah dan senjata.

TARING harimau mempunyai nilai di pasaran gelap. FOTO Ihsan Perhilitan
TARING harimau mempunyai nilai di pasaran gelap. FOTO Ihsan Perhilitan

Sementara itu, tinjauan wartawan Harian Metro di laman jual beli e-dagang mendapati cebisan kecil kulit harimau turut ditawarkan pada harga menjangkau RM350.

Malah, turut dijual adalah misai harimau yang didakwa 'berkhasiat' bagi tujuan amalan ghaib selain pelbagai kepercayaan mistik lain.

Namun berdasarkan harga ditawarkan hingga semurah RM10, wartawan yakin kulit harimau belang itu adalah palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 8:01 AM