ANTARA bukti hidupan liar yang dirampas dari tiga pemburu haram Vietnam.
ANTARA bukti hidupan liar yang dirampas dari tiga pemburu haram Vietnam.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Ganyang harimau belang, beruang, gajah dan pelbagai spesies hidupan liar di hutan negara ini demi mendapatkan kuku, taring, daging serta hempedu.

Itu kegiatan kumpulan pemburu haram profesional yang bergerak persis tentera gerila di dalam hutan negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kumpulan penjenayah hidupan liar itu berjaya ditumpas hasil operasi bersepadu khas pemburuan haram membabitkan Pasukan Taktikal Khas Perhilitan (SPARTA) dan anggota 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM), kelmarin.

Beliau berkata, 10 anggota SPARTA dan 15 anggota 69 Komando bertindak melakukan risikan sebelum menjejaki kumpulan penjenayah berhampiran Kampung Sungai Charu, Panching, Pahang.

"Dalam operasi jam dilakukan jam 7 malam itu, tiga lelaki warga Vietnam berjaya diberkas.

"Semua suspek berusia antara 40-an dan 50-an didapati memasuki negara ini secara sah susulan penemuan pasport milik mereka.

"Hasil pemeriksaan lanjut dilakukan, kami merampas 26 bungkusan plastik berisi taring dan kuku beruang," katanya.

Beliau berkata, turut ditemui 17 plastik bungkusan taring, misai dan kuku harimau belang dan 20 bungkusan disyaki ketulan daging harimau yang sudah diproses.

ANTARA bukti hidupan liar yang dirampas dari tiga pemburu haram Vietnam.
ANTARA bukti hidupan liar yang dirampas dari tiga pemburu haram Vietnam.

"Pihak kami turut merampas 13 unit hempedu beruang, 11 unit siung babi hutan, satu bungkusan duri landak, dua bungkusan tanduk hidupan liar, dua bahagian kepala kijang dan satu bahagian kepala kambing gurun.

"Turut dirampas tiga bahagian gigi gajah, empat unit gigi hidupan liar, empat bungkusan disyaki bahagian hidupan liar dan 45 bungkusan daging disyaki hidupan liar belum dikenal pasti spesiesnya.

"Kami turut merampas sebuah pacuan empat roda, kereta, empat gulung dawai dan dan lima utas jerat dawai," katanya.

Menurutnya, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang untuk tindakan lanjut.

"Semua barang kes itu dibawa ke Pejabat Perhilitan Negeri Pahang untuk tindakan lanjut.

"Kesemua suspek akan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 6:15 AM