USIA kanak-kanak terjatuh bangunan dilaporkan dalam lingkungan usia dua hingga 14 tahun.
USIA kanak-kanak terjatuh bangunan dilaporkan dalam lingkungan usia dua hingga 14 tahun.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Suhanna Iskandar


Kuala Lumpur: Berita mengenai kejadian kanak-kanak maut akibat terjatuh bangunan terpampang di laman berita bukanlah perkara baharu, malah saban tahun dilaporkan berlaku.

Lebih menyedihkan, ada 'si kecil' menemui ajal seawal usia dua tahun selepas terjatuh dari bangunan tinggi.

Jendela terbuka, balkoni, tirai, rekaan perabot, ketinggian dalam bangunan dan kecuaian pengawasan menjadi faktor berlakunya insiden jatuh bangunan sehingga membawa maut.

Sepanjang tempoh tiga tahun dari 2021 hingga tahun lalu, sebanyak 24 kes kanak-kanak dilaporkan terjatuh dari bangunan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, kanak-kanak boleh terjatuh dari kondominium, pangsapuri atau flat melalui pelbagai cara.

Menurutnya, kanak-kanak yang mempunyai akses kepada jendela terbuka mungkin akan merangkak atau mencuba bermain di sekitarnya dan secara tidak sengaja terjatuh melalui jendela terbabit.

"Selain itu, jika sebuah kondominium atau pangsapuri mempunyai balkoni, kanak-kanak yang tidak diawasi dengan baik mungkin terjatuh dari balkoni itu.

"Tirai dan rekaan perabot di dalam kediaman mereka juga boleh menjadi penyebab kerana kanak-kanak mungkin akan merangkak ke atas perabot atau tali tirai yang berada berdekatan jendela yang boleh menyebabkan mereka terjatuh jika ia tidak stabil," katanya kepada Harian Metro.

Siti Kamsiah berkata, kanak-kanak yang bermain di kawasan tinggi dalam bangunan seperti tangga, koridor atau ruang komunal (lif, tangga, dewan perhimpunan, bilik mesyuarat, ruang rekreasi, kolam renang atau sebarang ruang yang boleh diakses semua penghuni bangunan) juga terdedah kepada risiko jatuh.

"Kecuaian pengawasan oleh penjaga kanak-kanak atau penjaga tidak memberi perhatian mencukupi kepada aktiviti kanak-kanak juga boleh menyebabkan kejadian ini berlaku.

"Sebagai rekod, pada 2021 sebanyak tujuh kes dilaporkan, manakala 2022 (10 kes) dan tahun lalu sehingga September pula mencatatkan tujuh kes," katanya.

Beliau berkata, usia kanak-kanak terjatuh sebelum ini dilaporkan dalam lingkungan dua tahun hingga 14 tahun.

Menurutnya, daripada 24 kes yang dilaporkan sepanjang tempoh itu terdapat lima kes pihaknya membuat dakwaan di mahkamah, manakala selebihnya di NFA (tiada tindakan lanjut) oleh timbalan pendakwa raya.

"Antara lokasi kanak-kanak terjatuh bangunan ini termasuk di hotel, hospital, flat, bangunan pejabat, kondominium, tempat letak kereta, bangunan komersial dan pangsapuri.

"Kesimpulannya, di mana pun tempat yang tinggi boleh menjadi punca kepada jatuh bangunan kerana kurangnya pengawasan atau pemantauan terhadap kanak-kanak," katanya.

'Insiden adik jatuh dari balkoni sukar saya lupakan'

"Ketika itu saya masih kecil dan arwah adik tidak berhenti menangis menyebabkan saya cuba membawanya bermain di kawasan balkoni sebelum dia memanjat pagar dan terjatuh," kata seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Roy, 22.

Dia menceritakan semula detik malang yang mengorbankan adik lelakinya yang terjatuh dari tingkat lima kediaman pangsapuri mereka di Lembah Klang di sini, kira-kira 10 tahun lalu.

Roy berkata, ketika kejadian dia baru berusia 12 tahun dan ketika itu dia diminta menjaga adiknya yang berusia tiga tahun sekejap kerana keluarganya keluar.

Menurutnya, ketika itu adik tidak berhenti menangis dan tidak tahu hendak membuat apa, dia cuba membawa adiknya bermain di kawasan balkoni rumah.

"Waktu itu, hanya saya berada di dalam rumah dan disebabkan ada gangguan seketika menyebabkan saya terlepas dari memandangnya.

"Adik saya ketika itu memanjat pagar balkoni setinggi satu meter menggunakan kerusi yang saya letakkan di luar," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Roy, dia yang melihatnya terus menjerit menyebabkan adiknya terkejut sebelum tergelincir dan cuba menarik adiknya namun tidak sempat.

"Saya tidak sempat menarik tangannya kerana berlaku secara tiba-tiba.

"Waktu itu, saya tidak berapa ingat apa yang berlaku, cuma saya sempat mengetuk pintu jiran dan memberitahu apa yang terjadi.

"Adik mengalami kecederaan di otaknya kerana hentakan dan disahkan menghadapi Diffuse Axonal Injury (DAI) sebelum meninggal dunia selepas enam hari dirawat di hospital," katanya.

Roy masih lagi tidak dapat menerima bahawa dia menjadi punca adiknya meninggal dunia.

Ibu bapa galas tanggungjawab pastikan anak selamat

Kecuaian ibu bapa menjadi faktor utama kes seperti anak terjatuh dari bangunan tinggi berlaku.

Aktivis masyarakat dan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ibu bapa sepatutnya dipertanggungjawabkan bagi sebarang kemalangan kanak-kanak yang jatuh dari tempat tinggal mereka.

"Jika peraturan sedia ada tidak merangkumi aspek ini, pihak berkuasa sepatutnya meminda undang-undang untuk membolehkan pelaksanaan dan menghukum ibu bapa yang cuai untuk menjaga anak mereka kerana setiap kemalangan seperti ini boleh dielakkan.

"Ibu bapa bertanggungjawab dengan keperluan memasang penghadang tingkap, mengawasi anak-anak dengan teliti, dan memberi pendidikan tentang bahayanya ketinggian di kawasan rumah mereka.

"Memasang kamera litar tertutup (CCTV) mungkin tidak berkesan kerana ia akan memerlukan pemantauan sepenuh masa oleh pengurusan bangunan seperti Jabatan Pengurusan Bersama (JMB) kerana kos yang terlalu tinggi.

"Kosnya terlalu tinggi untuk ditanggung oleh penduduk juga menjadikan CCTV bukan pilihan utama," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, tumpuan seharusnya diberikan kepada langkah-langkah praktikal yang boleh diambil oleh individu dan komuniti untuk mencegah kejadian tragis ini disebabkan kos dan pemantauan CCTV ini tidak praktikal.

"Selain langkah kawalan fizikal, penting bagi ibu bapa untuk secara berkala memeriksa langkah keselamatan yang ada serta memberi kesedaran kepada anak-anak mengenai risiko bahaya terjatuh dari ketinggian.

"Perlunya juga kerjasama antara polis, pihak berkuasa tempatan (PBT), arkitek dan jurutera untuk meneliti punca kematian kanak-kanak yang terjatuh kerana reka bentuk bangunan memainkan peranan penting terutama di kawasan flat kos rendah dan apartmen tinggi.

"Punca kes kematian kanak-kanak jatuh dari bangunan tinggi sepatutnya dikongsi oleh pegawai polis bersama PBT, arkitek dan jurutera untuk mencipta reka bentuk bangunan yang lebih selamat pada masa akan datang," katanya.

PEMASANGAN komponen keselamatan tambahan mampu cegah kejadian tidak diingini berlaku.
PEMASANGAN komponen keselamatan tambahan mampu cegah kejadian tidak diingini berlaku.

Tambah baik keselamatan bangunan

Pemaju bangunan dicadangkan agar dapat meningkatkan ciri-ciri keselamatan kondominium dan bangunan yang tinggi bagi mengelakkan kejadian kanak-kanak terjatuh sehingga membawa maut.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pemaju perlu mematuhi semua peraturan dan undang-undang tempatan yang berkaitan dengan keselamatan bangunan, termasuk peraturan berkaitan jendela, balkoni, tangga dan kemudahan lain yang boleh mempengaruhi keselamatan kanak-kanak.

Menurutnya, pemaju juga perlu bekerjasama dengan arkitek dan jurutera untuk merancang bangunan dengan reka bentuk yang selamat termasuk pemilihan bahan binaan sesuai dan penggunaan komponen keselamatan seperti pagar balkoni.

"Pemaju juga disarankan agar memasang penghalang jendela, pagar, balkoni dan komponen keselamatan yang lain untuk mengurangkan risiko terjatuh.

"Kita juga menyarankan pemaju merancang dan menjaga ruang komunal dengan berfikiran keselamatan termasuk pemilihan perabot dan struktur yang tidak membenarkan akses mudah ke tempat tinggi," katanya kepada Harian Metro.

Siti Kamsiah berkata, pemaju boleh mengatur pemeriksaan berkala untuk memastikan komponen keselamatan seperti penghalang jendela dan pagar balkoni berfungsi dengan baik.

"Sebaiknya, pemaju menjalankan kajian keselamatan semasa perancangan dan pembinaan bangunan untuk mengenal pasti potensi risiko jatuh dan mengambil langkah meminimakan risiko.

"Keselamatan kanak-kanak adalah perkara penting dan pemaju bangunan perlu memberikan perhatian serius kepada aspek keselamatan semasa merancang dan membina bangunan tinggi seperti kondominium.

"Mematuhi panduan dan garis panduan yang relevan akan membantu menjaga keselamatan penduduk, terutama kanak-kanak," katanya.

Bagaimanapun katanya, bagi memastikan aspek keselamatan kanak-kanak berada pada tahap yang optimum, bukan hanya tanggungjawab satu pihak sahaja, bahkan seharusnya ibu bapa atau penjaga juga perlu memastikan ciri-ciri keselamatan perlu ditambah sekiranya ia tidak termasuk dalam bajet kos bangunan atau rumah terbabit.

Elak anak akses tempat bahaya

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyarankan beberapa kaedah dalam membantu mengelakkan kejadian kanak-kanak terjatuh dari bangunan seperti memasang pagar keselamatan, hadkan akses ke kunci dan sebagainya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, ibu bapa perlu membuat pengawasan berterusan dengan sentiasa memantau dan mengawasi anak mereka terutamanya di kawasan yang berpontensi berbahaya seperti jendela, balkoni, tangga atau ruang komunal.

Menurutnya, pasang penghalang jendela yang kukuh dan selamat untuk mencegah kanak-kanak daripada membuka jendela dengan mudah.

"Selain itu, pastikan perabot seperti kerusi atau meja yang diletakkan berhampiran jendela atau balkoni diletakkan jauh daripadanya, supaya kanak-kanak tidak merangkak di atasnya.

"Anak-anak perlu diajar mengenai keselamatan terutama berkaitan dengan kawasan tinggi. Berbicaralah kepada mereka mengenai risiko jatuh dan mengapa penting untuk berhati-hati," katanya kepada Harian Metro.

Siti Kamsiah berkata, elakkan kanak-kanak daripada ada akses tempat berbahaya seperti pam tandas, bumbung atau kawasan konstruksi.

"Jika anda mempunyai balkoni atau kawasan tinggi lain di rumah, pasang pagar keselamatan yang sesuai untuk mencegah akses kepada kanak-kanak.

"Pastikan bahawa kawasan komunal dalam bangunan seperti tangga, koridor dan dewan perhimpunan adalah selamat dan bebas dari bahaya," katanya.

Beliau berkata, elakkan kanak-kanak mengambil kunci yang boleh membuka akses ke kawasan berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 12:01 PM