Kuala Lumpur: Pemilik kediaman jenis bertingkat seperti flat, kondominium dan apartmen perlu meneliti soal keselamatan untuk kanak-kanak memandangkan kediaman jenis ini mempunyai risiko yang berbeza.

Pereka bentuk dan Perunding Kediaman Online, Khairunnisa Hamzahara berkata, antara ciri-ciri yang perlu dipertimbangkan adalah pembinaan unjuran dan kotak tanaman di balkoni.

“Di setiap bukaan tingkap, pemilik kediaman perlu mempertimbangkan pembinaan unjuran atau balkoni. Di sebalik balkoni pula perlu diwujudkan kotak tanaman konkrit bagi mengelakan kecelakaan seperti kanak-kanak terjatuh terus ke tingkat bawah tanpa sekatan.

“Sekiranya terdapat slab unjuran di bawah tingkap dan kotak tanaman di sebalik luar balkoni, kemungkinan untuk kanak-kanak jatuh terus ke bawah dapat dielakkan. Ia mungkin boleh terselamat kerana terjatuh atau tersangkut di unjuran dan kotak tanaman itu,” katanya.

Menurutnya, reka bentuk pagar keselamatan juga harus diteliti bagi memastikan ia tidak menjadi ‘alat permainan’ kanak-kanak.

“Sekiranya mereka bentuk pagar atau jeriji di mana-mana bahagian di rumah jenis bertingkat, elakkan menggunakan reka bentuk melintang kerana ia memudahkan kanak-kanak memanjat seperti tangga.

“Cara terbaik adalah membina jeriji secara menegak dan rapat untuk mengelakkan kanak-kanak daripada memanjat. Namun, perlu dipastikan jarak antara jeriji tidak terlalu besar sehingga boleh melepasi saiz kanak-kanak yang merangkak. Justeru, dinasihatkan agar 500mm yang pertama dibina dengan slab konkrit terlebih dahulu, berikutnya dibina dengan jeriji menegak,” katanya.

Selain itu, Khairunnisa berkata, kebiasaannya terdapat kediaman bertingkat yang dilengkapi lubang sampah di setiap tingkat yang dibina secara menegak dari atas hingga ke bawah dan ia mungkin mengundang bahaya sekiranya tiada pengawasan teliti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:02 AM