Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Orang ramai boleh melaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekiranya curiga dengan struktur kediaman tinggi yang boleh memudaratkan keselamatan.

"Jika ada aduan sedemikian, pihak bomba akan turun ke lokasi bagi membuat pemeriksaan," kata Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Menurutnya, bidang kuasa JBPM tertumpu pada aspek keselamatan seperti kebakaran dan pelepasan diri sekiranya berlaku sebarang kecemasan, manakala isu lain bangunan tinggi tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi lain berkaitan.

Mohammad Hamdan Wahid
Mohammad Hamdan Wahid

"Dari segi pagar balkoni, ia bukan bidang kebombaan dan kita percaya ada agensi atau jabatan lain yang melihat perkara ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 di Seberang Jaya, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian kanak-kanak maut terjatuh dari balkoni rumah bertingkat dengan kejadian terbaharu Rabu lalu di Selangor yang membabitkan kanak-kanak lima tahun.

Mohammad Hamdan menasihati ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan tinggal di kediaman tinggi supaya mendidik anak mereka mengenai risiko ruangan dalam rumah.

"Sebagai contoh tingkap, pagar, lubuk kawasan penyelenggaraan lif antara kawasan berisiko yang perlu dikenal pasti ibu bapa," katanya.

Katanya, pihaknya bersedia duduk semeja dengan pihak berkaitan bagi membincangkan isu keselamatan bangunan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 9:30 PM