Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: "Saya memang suka menghiburkan orang dan ia sedikit sebanyak mengubati juga hati saya yang pernah menempuhi pelbagai cabaran sejak kecil lagi," kata penjual belon yang mengenakan kostum katak, Obby Shaari, 27.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, penampilannya bagaimanapun pernah dihina oleh individu tertentu dengan ungkapan, "macam orang bodoh je (saja) pakai macam ini jalan-jalan di bandar... panas-panas."

Menurut Obby, biarpun kata-kata itu membuatkannya tersinggung dan kecewa, dia tidak berputus asa demi memikirkan nasib isteri berusia 25 tahun yang sarat mengandungi dan dua anak lelaki berusia tiga serta lima tahun.

Katanya, dia juga memilih untuk menjual belon dengan mengenakan kostum itu selepas perniagaan menjual pelam asam di tepi jalan kurang mendapat sambutan akibat persaingan hebat.

"Saya mula berniaga sendiri sejak tiga tahun lalu selepas hilang pekerjaan sebagai kelindan lori ketika pandemik Covid-19.

"Selepas menjual pelam asam, saya mula menjual belon sejak tiga bulan lalu bagi mencari rezeki.

"Walaupun pendapatan saya tidak tetap dan tidak lumayan, sekurang-kurangnya ia halal dan usaha sendiri, pada masa sama saya dapat menghiburkan orang ramai terutama kanak-kanak," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

OBBY bersama ahli keluarga. FOTO Ihsan Obby Shaari
OBBY bersama ahli keluarga. FOTO Ihsan Obby Shaari

Obby berkata, pendapatannya hanya mencecah kira-kira RM1,500 sebulan dan ia digunakan bagi menampung perbelanjaan dapur, sewa rumah serta keperluan isteri serta anak-anaknya.

Menurutnya, dia bagaimanapun memperoleh pendapatan tambahan sekiranya menerima jemputan bagi menjayakan majlis keramaian atau program di sekolah.

Katanya, sebaliknya pada hari hujan kebiasaannya pendapatannya terjejas.

"Bukan mudah untuk memakai kostum katak ini, kadang-kala setiap dua jam saya perlu berehat seketika.

"Dalam tempoh dua jam tubuh akan dibasahi peluh dan kebiasaannya saya akan beroperasi bermula waktu Asar hingga malam.

"Kekuatan ini diperoleh menerusi pengalaman hidup kerana sejak usia kecil saya kehilangan ibu bapa akibat kemalangan jalan raya dan membesar di rumah nenek.

"Selepas arwah nenek meninggal dunia saya dibesarkan oleh keluarga angkat di Kuala Terengganu dan saya juga tidak belajar tinggi," katanya yang sudah merantau ke Johor sejak 10 tahun lalu.

Obby berkata, perancangan masa depannya adalah untuk membuka kedai mainan di sekitar Johor Bahru.

Menurutnya, dia yang tidak sabar menantikan kelahiran anak ketiganya berkata, dia akan terus berusaha dan yakin berpeluang untuk mengecapi kejayaan.

"Saya cuba nak mengubah takdir untuk berjaya dan peluang sentiasa ada sekiranya kita cari.

"Saya juga berterima kasih kepada netizen yang memberi saya kata-kata semangat selepas saya berkongsi pengalaman buruk dihina individu tertentu baru-baru ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 8:01 PM
OBBY mengenakan kostum katak ketika menjual belon di sekitar Kota Tinggi. FOTO Ihsan Obby Shaari
OBBY mengenakan kostum katak ketika menjual belon di sekitar Kota Tinggi. FOTO Ihsan Obby Shaari