NURUL Nadia memakai kostum Darth Vader.
NURUL Nadia memakai kostum Darth Vader.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Penampilannya dengan memakai kostum karakter Darth Vader bersama pedang kelihatan ganas dan mungkin ramai menyangka individu itu seorang lelaki.

Hakikatnya, insan di sebalik pakaian hitam itu seorang wanita berstatus isteri dan ibu sepasang cahaya mata berusia lapan dan 10 tahun.

Agak mengagumkan apabila wanita itu penuh bersemangat hingga sanggup menahan kepanasan memakai kostum selama hampir dua jam kerana menyertai program Jalan Kaki Riang Ria Kartun (Fun Walk) 2023 Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejauh tiga kilometer, baru-baru ini.

Namun, pengorbanan Nurul Nadia Mohd Maharudin, 35, tidak sia-sia apabila dia dinobat pemenang pertama kostum terbaik dalam program berkenaan.

Wanita dari Seri Kembangan, Selangor itu menyertai aktiviti terbabit bersama anaknya, Rayyan Asyraf Mohd Izzat,10, dan Sarah Julia, lapan tahun yang kedua-duanya nya memakai kostum Captain Hup.

Menurutnya, dia memakai kostum itu kerana memenuhi permintaan anaknya yang mahu mereka sekeluarga tampilkan kelainan dalam aktiviti berkenaan.

"Saya sewa kostum daripada sebuah kedai di Bangi dan memilih kostum Darth Vader kerana melihat ia paling menarik berbanding kostum lain.

"Satu lagi kerana ingin keluar daripada kebiasaan yang mana wanita lebih meminati kostum kartun Princess dan Frozen berbanding kostum adiwira yang sinonim dengan lelaki.

"Apabila memakai kostum Darth Vader, saya dapati ia juga sesuai dipakai wanita," katanya yang pertama kali memakai kostum adiwira.

SHARIFAHNUN Noor Saadah (tengah) bersama keluarganya memakai kostum labu.
SHARIFAHNUN Noor Saadah (tengah) bersama keluarganya memakai kostum labu.

Selain itu katanya, dia bersetuju memakai kostum berkenaan kerana mahu memberikan sokongan dan galakan kepada anak-anaknya supaya menyertai aktiviti sihat seperti itu. Alhamdulillah anak-anaknya suka serta gembira.

Katanya lagi, dia seorang yang aktif dengan aktiviti fizikal luar seperti mendaki gunung dan sudah menawan beberapa gunung di negara ini antaranya Gunung Tahan, Gunung Ledang, Gunung Nuang serta Gunung Rajah.

"Insya-Allah selepas ini akan aktif memakai kostum adiwira untuk aktiviti santai seperti itu kerana ia pengalaman menyeronokkan.

"Saya mengetahui penganjuran aktiviti ini menerusi kumpulan WhatsApp kerana saya kakitangan HPKKUKM," katanya.

Manakala Sharifahnun Noor Saadah Syed Ahmad, 32, pula berkata, dia bersama lima ahli keluarga lain memakai kostum tema labu sebagai pakaian 'rasmi' untuk aktiviti itu.

"Kostum labu menjadi pilihan kerana warna orennya menarik, ceria, ringkas dan harganya murah yang dibeli di platform dalam talian.

"Apabila kami berenam sedondon memakai kostum ini dan jalan bersama-sama, menampakkan kecomelan," katanya.

Katanya, aktiviti itu kali pertama disertai bersama anaknya berusia enam tahun. Sementara itu, empat ahli keluarga lain adalah kakak dan anak buahnya.

"Sebelum mendirikan rumah tangga, saya aktif sertai acara larian, tetapi hentikan seketika aktiviti berkenaan selepas mempunyai anak.

"Kini saya bercadang mahu kembali aktif kerana anak sudah besar dan membawanya berjinak-jinak dengan aktiviti sihat itu," katanya.

ANTARA peserta memakai kostum menarik.
ANTARA peserta memakai kostum menarik.

Sharifahnun Noor Saadah dari Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur berkata, dia gemar mengikut tema kerana dapat menonjolkan kreativiti bagi mencantikkan lagi pakaian.

"Disebabkan itu juga saya sanggup habiskan ratusan ringgit bagi tujuan berkenaan dan ia memberi kepuasan apabila dapat menyiapkan pakaian itu seperti yang dikehendaki.

"Ia satu bonus apabila pakaian atau kostum ini terpilih sebagai pemenang dan tentunya lebih menggembirakan kerana kreativiti dihargai.

"Saya juga tidak menyangka kostum labu yang kami pakai ini dipilih pemenang kedua dalam aktiviti berkenaan," katanya.

Sementara itu Norhasikin Mohamad, 36, pula tampil berkongsi pengalaman.

Katanya, itu kali pertama dia menyertai aktiviti Jalan Kaki Riang Ria dengan memakai kostum pari-pari.

"Saya memilih kostum ini kerana pari-pari cantik dan diminati wanita. Ini percubaan pertama selain akan mencuba pelbagai kostum lain dalam aktiviti akan datang.

"Rasa seronok melihat gelagat ramai peserta memakai pelbagai kostum yang menarik dan menjadikan aktiviti ini lebih meriah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 7:02 AM