SITI Norsanisah   memakai kostum katak sambil berniaga  untuk kelangsungan hidup.
SITI Norsanisah memakai kostum katak sambil berniaga untuk kelangsungan hidup.
Noor Hidayah Tanzizi


Jitra: Demi rezeki halal, Siti Norsanisah Ishak yang berstatus orang kurang upaya (OKU) sanggup memakai kostum katak dalam cuaca panas tanpa rasa malu untuk kelangsungan hidup.

Siti Norsanisah, 40-an, yang mengalami kecacatan pada jari tangan sejak lahir memakai kostum katak sambil berniaga belon, beg dan jersi di Simpang Bank Islam, Jitra Lama di sini.

Wanita itu sebelum ini mengenakan kostum kartun lain seperti Hello Kitty, beruang dan Minnie Mouse serta kini memakai kostum katak sejak tiga tahun lalu.

Dia yang juga pencinta haiwan berkata, segalanya bermula selepas sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pencinta haiwan memberi bantuan kepadanya untuk memulakan usaha mencari rezeki.

"Kami bertemu ketika saya sedang memberi makan kepada kucing jalanan dan dengan bantuan itu saya membeli kostum kartun kerana minat memakai kostum untuk menghiburkan kanak-kanak.

"Sejak itu, saya mencari rezeki dengan kostum dan menghiburkan kanak-kanak sambil menjual belon, beg dan jersi, malah boleh ambil gambar bersama," katanya ketika dihubungi, di sini.

Bagaimanapun katanya, dia yang berniaga bermula jam 2 petang hingga 7 malam tidak mengenakan sebarang bayaran kepada individu yang mahu mengambil gambar kecuali untuk barangan jualannya saja.

"Jika orang bagi seikhlas hati berapa pun, saya terima dan ada juga individu yang bermurah hati berikan wang, tetapi saya tidak meminta-minta atau menagih simpati dan kalau mereka tak bagi pun tak mengapa.

ANTARA barangan yang dijual Siti Norsanisah.
ANTARA barangan yang dijual Siti Norsanisah.

"Bagi saya dapat hiburkan kanak-kanak, melihat mereka gembira pun sudah membuatkan saya gembira, lebih bersemangat dan rasa dihargai. Jika dapat bayaran, itu rezeki tambahan untuk saya," katanya yang sudah berkeluarga.

Katanya, wang diperolehi akan dikumpul untuk membeli barang jualan dan mengakui biarpun pendapatannya tidak menentu tetapi ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjualan secara kecil-kecilan.

"Sekarang saya masih mengumpul wang untuk membeli meja dan payung bagi meletakkan barang niaga kerana lebih mudah untuk berniaga. Sementara ini, barang saya akan simpan dalam beg.

"Pendapatan saya tak menentu, kadang-kadang RM15 sehari atau paling banyak dapat RM50, malah pernah tiada pendapatan," katanya.

Katanya, dia bersedia menerima tempahan untuk majlis hari lahir atau sebarang majlis dan mengakui rezeki yang diperolehi bukan hanya untuk dirinya, sebalik turut berkongsi dengan kucing jalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 6:59 AM