Nurul Husna Mahmud dan Redzuan Muharam dan Nor Amalina Alias

Kuala Lumpur: Demi rezeki halal, segelintir individu seperti ibu tunggal serta orang kurang upaya (OKU) sanggup mengenakan pelbagai kostum bagi melariskan barangan jualan atau sekadar untuk dijadikan penarik untuk bergambar bersama orang ramai.

Rezeki diperoleh juga adakalanya hanya RM5 sehari namun itu semua bukan penghalang buat golongan pemakai kostum ini untuk terus giat mencari rezeki halal demi kelangsungan hidup.

Demi rezeki, itu semua kami hadapi dengan sabar, itu kata mereka. Janganlah dihina, sebaliknya bantulah mereka.

Di Bachok, Kelantan, kelibat ibu tunggal, Rusnani Hussin, 53, yang mesra disapa Tok Ma boleh ditemui di Pantai Irama pada setiap petang sejak 2019.

Rusnani sanggup memakai kostum tupai di pantai berkenaan demi kelangsungan hidup dia dan anaknya, Nur Puteri Aqila Ahmad Ramesh, 15.

"Sebelum ini, saya mengambil upah mengemas rumah dan mencuci pinggan mangkuk dengan pendapatan tidak menentu.

"Hinggalah satu hari, ada peniaga bundle sedang 'belah' guni dan meminta saya pilih pakaian yang dimahukan.

"Kebetulan, ada kostum tupai ini. Saya bawa balik sebelum menjahit bahagian yang koyak. Kemudian, timbul idea untuk memakainya dan berjalan sekitar Pantai Irama untuk pengunjung bergambar," katanya ditemui di pantai berkenaan.

RUSNANI sanggup memakai maskot tupai empat jam setiap hari demi mencari rezeki di Pantai Irama, Bachok sejak empat tahun lalu. FOTO Nor Amalina Alias
RUSNANI sanggup memakai maskot tupai empat jam setiap hari demi mencari rezeki di Pantai Irama, Bachok sejak empat tahun lalu. FOTO Nor Amalina Alias

Menurutnya, dia mengenakan bayaran seikhlas hati untuk bergambar dan mampu memperoleh RM5 ke RM30 pada pada hari biasa dan lebih sedikit pada hari minggu.

Katanya, dia akan memakai kostum tupai itu bermula jam 4 petang sehingga jam 7 malam setiap hari.

"Alhamdulillah, bolehlah tampung hidup saya dan anak. Selain kami, dengan wang yang diperoleh, saya dapat belikan makanan untuk kucing-kucing di sekitar pantai ini," katanya.

Menurut Rusnani, biasanya dia akan menjamu haiwan itu dua kali sehari iaitu pada jam 6 pagi dan jam 8.30 malam sama ada dengan makanan kucing atau nasi berlaukkan ikan.

"Kalau ada kucing yang sakit, saya akan cuba rawat dan beri ubat, hendak pelihara di rumah tidak boleh kerana rumah rapat-rapat, bimbang mengganggu jiran. Jadi, di pantai inilah saya curahkan kasih kepada mereka (kucing).

"Kucing-kucing di sini mengenali saya. Kucing ini lebih mesra apabila saya beri makan sambil memakai kostum tupai ini," katanya yang menyewa di Kampung Pantai Damat, tidak jauh dari Pantai Irama.

RUSNANI  turut menyayangi haiwan jalanan. FOTO Nor Amalina Alias
RUSNANI turut menyayangi haiwan jalanan. FOTO Nor Amalina Alias

Rusnani berkata, kehidupannya yang susah membuatkan dia tidak malu melakukan pekerjaan itu kerana dia pernah tidur selama sebulan di dalam khemah bersama anaknya di pantai berkenaan.

"Saya tidak pandai meminta pertolongan orang, jadi dengan kudrat yang ada, saya buat apa juga kerja halal malah sejak memakai kostum ini, peniaga-peniaga di pantai ada tawarkan kerja mencuci pinggan untuk membantu saya kerana kasihankan saya," katanya.

Menurut Rusnani, setiap hari, dia akan berjalan kaki lebih satu kilometer berulang alik di sepanjang pantai bagi mencari pengunjung untuk bergambar.

Di Johor Bahru, Johor, Saifulbahri Muhammad, 38, yang buta mata kiri sanggup menahan panas dengan memakai kostum beruang untuk menarik perhatian orang bagi membeli kerepek jualannya.

Saifulbahri tidak berseorangan sebaliknya dibantu isteri, Nurazwin Azman, 34, dan dua daripada enam anaknya yang bergilir-gilir memakai kostum.

Berkongsi pengalamannya, Saifulbahri yang menetap di Kampung Sungai Perling di sini berkata, dia mula memakai kostum ketika menjual kerepek sejak penghujung tahun lalu dan terdetik melakukannya kerana mahu cuba berniaga dengan kaedah baru.

"Saya menjual kerepek di sini (simpang sebuah stesen minyak dekat Jalan Tampoi) sejak Jun tahun lalu dan pada awalnya tidak memakai kostum.

"Jualan tak menentu namun saya bersyukur kerana masih ada yang membeli. Memandangkan lokasi saya mencari rezeki itu adalah laluan kenderaan, jadi saya cari kelainan dengan memakai kostum.

"Kostum beruang ini dibeli secara dalam talian. Saya beli dua set dan kami bergilir mengenakannya," katanya ditemui.

SAIFULBAHRI bersama isteri (tengah) dan anak mereka, Puteri Natasyah. FOTO Ihsan Saifulbahri Muhammad
SAIFULBAHRI bersama isteri (tengah) dan anak mereka, Puteri Natasyah. FOTO Ihsan Saifulbahri Muhammad

Menurut Saifulbahri, dia mencari rezeki bermula jam 6 petang sehingga jam 11 malam dan akan membawa isteri serta kesemua enam anak mereka.

Sementara dia memakai kostum dan mencari pembeli, isterinya akan menjaga anak di dalam kereta, begitulah sebaliknya.

"Tak boleh pakai terus selama lima jam kerana panas, jadi gilir-gilir kerana kostum pun ada dua saja.

"Seronoknya kerana dapat cari rezeki sambil menghiburkan orang ramai dan jika tidak berhenti membeli sekalipun, pemandu akan turunkan cermin kereta, kemudian angkat tangan (sebagai tanda hormat).

"Pelanggan terutama yang bawa anak kecil pula akan ajak bergambar bersama, jadi seronok kerana dapat gembirakan mereka," katanya.

SAIFULBAHRI mencari rezeki dengan ditemani anaknya, Puteri Natasyah yang turut memakai kostum. FOTO Ihsan Saifulbahri Muhammad
SAIFULBAHRI mencari rezeki dengan ditemani anaknya, Puteri Natasyah yang turut memakai kostum. FOTO Ihsan Saifulbahri Muhammad

Saifulbahri berkata, dia tidak malu tampil dengan memakai kostum di khalayak kerana niatnya mahu mencari rezeki halal bagi menyara isteri dan anak.

"Saya tidak sekolah tinggi tetapi pernah lakukan bermacam pekerjaan sebelum ini seperti sebagai pengawal keselamatan, jual kuih siput dan buka gerai makanan.

"Bagaimanapun, pandemik Covid-19 menyebabkan perniagaan terjejas hingga terpaksa mencari alternatif lain sebelum akhirnya mencari rezeki dengan cara begini.

"Pernah satu ketika, saya memperoleh sehingga RM300 sehari dan ada juga RM80 atau kurang daripada itu. Tidak pasti sampai bila saya akan berniaga atau mengenakan kostum beruang ini namun saya bersyukur kerana masih ada kerja serta rezeki halal untuk beri anak isteri makan," katanya.

Di Kuantan, Pahang, keinginan berdikari mendorong OKU, Muhammad Idham Zulkifli, 18, mencari rezeki sebagai penghibur jalanan di Teluk Cempedak.

Muhammad Idham yang mengalami masalah pembelajaran menghiburkan pengunjung dengan memakai kostum karakter Minion.

Dia yang menetap di Taman Bukit Rangin Aman di sini, tidak berseorangan sebaliknya ditemani kakaknya, Nur Idayu Zulkifli, 20, yang turut menjadi pemain kostum.

Menurut Nur Idayu, Muhammad Idham adalah anak ketiga daripada lima beradik dan disahkan OKU sejak lahir.

Katanya, Muhammad Idham boleh bertutur cuma tidak selancar individu normal namun rajin orangnya malah teruja apabila dapat menjadi penghibur jalanan.

MUHAMMAD Idham (kanan) yang mengalami masalah pembelajaran dan kakaknya, Nur Idayu mencari rezeki dengan memakai kostum Minion di Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang. FOTO Ihsan Nur Idayu Zulkifli
MUHAMMAD Idham (kanan) yang mengalami masalah pembelajaran dan kakaknya, Nur Idayu mencari rezeki dengan memakai kostum Minion di Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang. FOTO Ihsan Nur Idayu Zulkifli

"Adik saya ini bersekolah sehingga tingkatan empat dalam aliran Pendidikan Khas dan sebelum ini pernah mengikut ayah bekerja dengan mengendalikan mesin cuci lantai.

"September tahun lalu, rakannya mengajaknya menjadi pemain kostum di Teluk Cempedak. Sehingga kini, adik masih lagi menjadi penghibur jalanan dengan mencari rezeki pada waktu malam," katanya dihubungi.

Nur Idayu berkata, pendapatan diterima tidak menentu dan kebiasaannya, lebih banyak pada hujung minggu atau cuti umum kerana ramai pengunjung.

"Paling banyak RM100 sehari pada hari biasa malah kami pernah dapat RM10.

"Pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, kami mampu memperoleh antara RM100 hingga RM150.

"Pendapatan tidak menentu kerana bukan semua yang mengajak bergambar akan menyumbang kerana tiada paksaan untuk membayar," katanya.

Bercerita lanjut, Nur Idayu berkata, keadaan Muhammad Idham yang memakai kostum menyebabkan segelintir pengunjung mengambil kesempatan dengan membulinya.

"Ada yang tunjal kepala adik. Setakat ini, itu saja pengalaman tidak menarik kerana rata-rata pengunjung, terutama kanak-kanak, teruja apabila berjumpa dan pasti mahu bergambar," katanya.

ANTARA insan yang mencari rezeki dengan memakai kostum di Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang.
ANTARA insan yang mencari rezeki dengan memakai kostum di Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 7:01 AM