ADA kes rogol bawah umur berlaku hanya selepas pertemuan pertama walaupun tanpa ada perasaan sayang seperti pasangan kekasih.
ADA kes rogol bawah umur berlaku hanya selepas pertemuan pertama walaupun tanpa ada perasaan sayang seperti pasangan kekasih.
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Perasaan teruja untuk meniru perilaku seksual yang dianggap sebagai trend terkini mendorong ramai remaja dan kanak-kanak sudah berasa tidak malu atau takut untuk melakukan hubungan seks.

Lebih membimbangkan, ada dalam kalangan mereka sudah berani untuk melakukan hubungan seks seawal usia 10 tahun.

Selain itu, lebih 90 peratus kes rogol remaja bawah umur yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlaku atas dasar suka sama suka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, sebanyak 5,549 kes rogol remaja bawah umur direkodkan bagi tempoh 2019 hingga Julai lalu.

"Sebanyak 5,506 kes direkodkan adalah atas dasar suka sama suka dengan umur mangsa paling muda dilaporkan berusia 10 tahun.

"Daripada jumlah kes itu, sebanyak 1,472 kes mangsa rogol bawah umur dilaporkan hamil.

"Berdasarkan jumlah ini, kita nampak trend membabitkan kes rogol semakin meningkat dengan purata lebih 1,000 kes direkodkan setiap tahun jika dicampur dengan kes rogol secara paksa dan lain-lain," katanya ketika ditemui.

Siti Kamsiah berkata, seramai 6,942 lelaki ditahan atas kesalahan rogol remaja bawah umur bagi tempoh berkenaan.

"Daripada jumlah itu, 2,981 lelaki yang ditahan membabitkan remaja bawah umur, manakala 3,961 lagi suspek adalah individu berusia 18 tahun ke atas.

"Kami pernah terima kes rogol membabitkan pelaku kanak-kanak lelaki yang berusia 10 dan 11 tahun," katanya.

Beliau berkata, daripada segi undang-undang, kanak-kanak lelaki berusia bawah 13 tahun tidak ada tanggungjawab jenayah terhadap rogol sebagaimana diperuntukkan mengikut Seksyen 113 Akta Keterangan.

Bagaimanapun, menurutnya, mereka masih bertanggungjawab ke atas jenayah lain sekiranya mereka berusia atas 12 tahun.

Katanya, bagi yang berusia antara 10 hingga 12 tahun kena melihat kepada tahap akalnya baru boleh diletakkan tanggungjawab jenayah ke atasnya.

"Bagaimanapun, kita akan menasihatkan ibu bapa mereka supaya merujuk pelaku bagi mendapatkan pemulihan atau dirujuk ke bahagian psikiatri untuk melihat kecenderungan mendorong dia melakukan kesalahan jenayah lain.

Remaja bawah umur hamil mengaku termakan pujuk rayu teman lelaki

Pergolakan nafsu dan perasaan ingin mencuba mendorong ramai remaja bawah umur terjebak melakukan hubungan seks sehingga hamil.

Ahli Komuniti Rumah Kita, J Sham Rahman berkata, ramai remaja perempuan terjebak kerana termakan dengan hasutan daripada lelaki yang memanipulasi sifat naif mereka.

"Banyak kes yang kami terima apabila ditanya mengapa sampai boleh hamil, jawapan mereka pasti sebab dipujuk rayu oleh teman lelaki.

"Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes dirujuk di sini bermula daripada media sosial.

"Apabila mula berkomunikasi, golongan remaja lebih teruja untuk berjumpa sekali gus membuka ruang kepada perkara tidak diingini.

"Ramai antara mereka (penghuni) memberitahu mereka melakukan seks di rumah sendiri ketika tiada kehadiran ahli keluarga.

"Ini kerana kebanyakan remaja mengikut hawa nafsu mereka tanpa memikirkan risiko yang akan ditanggung pada jangka masa yang panjang," katanya ketika ditemui di rumah perlindungan berkenaan.

J Sham berkata, rumah perlindungan berkenaan ditubuhkan pada 13 Oktober 2015 dengan objektif untuk mengurangkan kadar pembuangan bayi yang lahir luar nikah.

ACP Siti Kamsiah Hassan.
ACP Siti Kamsiah Hassan.

Berlaku seawal pertemuan pertama

Kanak-kanak dan remaja didapati hanya mahu mencari keseronokan tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada tindakan mereka termasuk pelakukan seks mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, kebanyakan mangsa rogol bawah umur dilihat seperti tidak malu dengan perbuatan mereka yang mengaku melakukan hubungan seks dengan kenalan atau pasangan atas dasar suka sama suka.

"Mereka beri alasan kononnya mahu berseronok dengan berjumpa kenalan baru dan mengikut sahaja ajakan rakan atau pasangan kerana berasakan ia adalah perkara biasa yang sudah menjadi trend terkini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Aman di sini.

Siti Kamsiah berkata, ada kes rogol bawah umur yang diterima pihaknya berlaku hanya selepas pertemuan pertama walaupun tanpa ada perasaan sayang seperti pasangan kekasih.

"Bagi mereka ini, hubungan seks itu berlaku dengan begitu mudah seperti ajakan minum semata-mata untuk mendapatkan keseronokan singkat.

"Dalam usia muda, mereka ini tidak memikirkan mengenai alat pencegahan kehamilan seperti kondom kerana hubungan seks dilakukan hanya untuk keseronokan.

"Ada juga kes yang kami terima babitkan kanak-kanak berusia 11 tahun hamil, tetapi mengalami keguguran kerana faktor tumbesaran tubuh badannya masih belum matang ," katanya.

Menurutnya, remaja bawah umur yang hamil lazimnya tidak menggugurkan kandungan kerana kebanyakan kes hanya menyedari perkara itu selepas kandungannya berada di peringkat akhir kehamilan iaitu antara enam hingga lapan bulan.

"Jarang kehamilan mereka dikesan di peringkat awal dan apabila perut sudah besar, mereka akan terus melahirkan sahaja kerana sudah terlambat untuk bertindak (menggugurkan kandungan).

"Ada juga kes yang kami terima remaja bawah umur 'kantoi' hamil apabila mengalami sakit perut untuk melahirkan dan pada ketika itu sudah tiada apa yang boleh dilakukan," katanya.

Katanya, kawalan ibu bapa terhadap anak perlu berubah yang tidak hanya mengawal pergerakan fizikal, tetapi juga minda termasuk menanam perasaan malu dan sayangi diri dalam diri mereka.

"Ibu bapa perlu tanam rasa malu pada anak dengan menerapkan bahawa setiap tindakan yang dibuat kena fikir akibat yang boleh memudaratkan diri.

"Oleh itu, pendedahan terhadap dunia luar dan digital perlu dibuat seawal usia dan tidak menunggu mereka sehingga akil baligh untuk beri pendidikan seksual.

"Pada masa sama, anak juga perlu diajar dengan kawalan kendiri memandangkan ibu bapa tidak boleh mengawal pergerakan mereka setiap masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 12:03 PM