KANAK-KANAK dan remaja sasaran mudah pelaku gangguan seksual.
KANAK-KANAK dan remaja sasaran mudah pelaku gangguan seksual.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Dicabul lelaki tidak dikenali ketika dalam perjalanan pulang ke rumah menjadi detik hitam buat seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.

Peristiwa itu benar-benar membuatkan pelajar tingkatan dua terbabit trauma dan ia tidak mungkin dapat dilupakannya sepanjang hidup.

Menceritakan semula kejadian yang berlaku pada tahun lalu, remaja yang enggan dikenali itu berkata, dia berjalan seorang diri untuk pulang ke rumah di sini, sebelum disapa lelaki tidak dikenali.

Menurutnya, lelaki itu menunggang motosikal dan menawarkan diri untuk menghantarnya pulang ke rumah.

"Pada mulanya, saya tidak mengesyaki apa-apa dan beranggapan lelaki itu ikhlas mahu menumpangkan kerana dia kelihatan sudah berusia seperti bapa saya.

"Ketika dalam perjalanan itu, dia secara tiba-tiba berhenti di pertengahan jalan tidak jauh dari rumah saya.

"Dia kemudiannya membuka seluarnya dan mencabul saya," katanya.

Remaja itu berkata, tindakan lelaki itu membuatkan dia terkejut lalu segera melarikan diri.

Menurutnya, dia menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya di rumah sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.

Difahamkan, pelaku sudah ditahan polis dan dituduh di mahkamah.

Seorang lagi mangsa yang mengalami gangguan seksual yang hanya mahu dikenali sebagai Tengku Zulkarnain, 40, mendedahkan dia mengalami kejadian yang tidak dapat dilupakannya sehingga kini itu pada 2008.

Menurutnya, ketika itu dia bekerja sebuah syarikat swasta di Damansara dan mengalami gangguan seksual oleh seseorang lelaki sewaktu minggu pertama berada di sebuah gimnasium berdekatan tempat kerjanya.

"Saya ke gimnasium disebabkan waktu itu ramai orang pergi kerana mahu kurus. Saya pun terjebak sama," katanya sambil menambah minggu pertama itu merupakan tempoh percubaan langganan selama setahun.

Katanya, sewaktu hari pertama bersenam, dia menyedari segala kegiatannya diperhatikan oleh seorang lelaki yang juga merupakan pelanggan tetap gimnasium terbabit.

Tengku Zulkarnain berkata, kejadian disifatkan memalukan dirinya itu berlaku pada hari kedua berada di gimnasium berkenaan.

"Selepas bersenam, saya ke bilik mandi. Sewaktu saya mandi itu, tiba-tiba lelaki yang memerhatikan saya sebelum ini membuka pintu bilik mandi.

"Tindakannya itu menyebabkan saya terkejut dan tak tahu nak buat apa," katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya mencapai tuala, menolak lelaki berkenaan dan melarikan diri kerana bimbang apa-apa perkara berlakunya pada dirinya.

"Selepas kejadian itu, saya sudah tidak pergi ke gimnasium itu. Selepas sebulan, saya menghubungi seorang instruktor di gimnasium terbabit bagi bertanyakan mengenai perkara itu.

"Instruktor berkenaan memaklumkan kepada saya lelaki itu memang suka melakukan perkara sedemikian dan mencari lelaki yang disukainya," katanya yang kemudian membatalkan langganan selepas itu.

Ramai mangsa lelaki malu buat laporan

Malu adalah antara punca ramai golongan lelaki yang menjadi mangsa gangguan seksual tidak tampil melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Sikap demikian memburukkan lagi keadaan mangsa apabila mereka akan lebih terdedah kepada perlakuan jenayah seksual seperti cabul, seks luar tabii atau liwat.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, isu gangguan seksual amat sensitif menyebabkan lelaki malu untuk memberitahu yang mereka menjadi mangsa.

"Sebenarnya masyarakat kita ini hanya melihat mangsa gangguan seksual adalah wanita sahaja tapi sebenarnya berlaku juga kepada lelaki, cuma peratusannya agak kecil berbanding wanita.

SITI Kamsiah harap mangsa tampil buat laporan jika berdepan gangguan seksual.
SITI Kamsiah harap mangsa tampil buat laporan jika berdepan gangguan seksual.

"Namun kebelakangan ini kita melihat berlaku peningkatan terhadap mangsa lelaki terutamanya kanak-kanak lelaki.

"Jenayah seksual ini tidak menyasarkan kepada satu jantina kerana nafsu dan naluri manusia ini pelbagai. Dalam konteks klinikal juga menyenaraikan pelbagai golongan seksual seperti pedofilia, sukakan haiwan dan seks pelik. Jadi tidak mustahil kepada lelaki juga," katanya.

Mengulas lanjut, Siti Kamsiah berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 4,364 kes jenayah seksual di seluruh negara sepanjang 2021 sehingga Oktober tahun lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 1,534 kes dilaporkan berlaku pada 2021, manakala 1,506 kes pada 2022 dan 1,324 kes pada Januari sehingga Oktober tahun lalu.

Selain itu, kata beliau, sebanyak 307 kes membabitkan mangsa lelaki sepanjang tempoh sama iaitu 102 kes pada 2021, manakala 2022 (101 kes) dan meningkat kepada 104 kes dari Januari sehingga Oktober tahun lalu.

"Kesemua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan (KK) kerana memiliki bahan lucah; Seksyen 354 KK kerana melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan; Seksyen 507A KK kerana menghendap; Seksyen 509 KK kerana perbuatan mengaibkan kehormatan (gangguan seksual) dan Seksyen 377D KK kerana melakukan perbuatan kelucahan melampau.

"Walaupun 90 peratus pegawai dan anggota D11 adalah wanita, kami mengendalikan semua kes seksual tidak mengira jantina dan menjalankan proses siasatan tanpa diskriminasi termasuk seks sejenis membabitkan mangsa serta pelaku lelaki.

"Undang-undang juga tidak 'pilih kasih' dengan meletakkan jantina tertentu sebagai mangsa jenayah seksual.

"Sebagai contoh kes cabul kehormatan, mana-mana orang sama ada lelaki atau wanita adalah sama dalam peruntukan undang-undang kecuali kes rogol yang memang khusus kepada wanita.

"Bagi lelaki, kita tidak meletakkan mereka sebagai mangsa rogol kerana sekiranya mereka dipaksa melakukan hubungan seks tanpa rela sekalipun, ia dikira sebagai mangsa cabul kehormatan bukan rogol kerana rogol hanya boleh dilakukan lelaki," katanya.

Justeru, beliau berkata, lelaki yang menjadi mangsa gangguan dan jenayah seksual perlu berani untuk tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan pendakwaan di mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 12:00 PM