AQILAH dan bekas suami, Mohamad Khairul Anuar bersama dua anak lelaki mereka mengambil gambar kenangan. FOTO Ihsan Aqilah.
AQILAH dan bekas suami, Mohamad Khairul Anuar bersama dua anak lelaki mereka mengambil gambar kenangan. FOTO Ihsan Aqilah.
Noor Hidayah Tanzizi


Shah Alam: Kegagalan rumah tangga yang dibina selama empat tahun bukan bermakna bekas suami isteri ini perlu bermusuh sebaliknya mereka terus mengekalkan hubungan baik sebagai sahabat.

Aqilah Sairuji, 31, dan bekas suami, Mohamad Khairul Anuar Saringat, 35, yang berpisah sejak enam tahun lalu kini bersahabat baik demi dua anak lelaki mereka yang sedang membesar.

Malah, boleh dikatakan pada Aidilfitri hampir setiap tahun, mereka akan mengambil gambar bersama untuk mencipta memori buat anak tersayang.

Perkongsian kisah mereka juga sering mendapat perhatian warganet selepas Aqilah berkongsi cerita mengenainya dan rata-rata netizen turut memuji kematangan dan sikap positif bekas suami isteri itu

Berkongsi cerita, Aqilah yang juga peniaga sambal pecal itu berkata, mereka sudah sepakat memberi perhatian dan kasih sayang kepada dua anak lelaki, Aiman Thaqiff, 9, dan Akmal Hail, 7, dengan baik.

Menurutnya, ia bagi mengelakkan emosi anak terkesan disebabkan penceraian mereka, malah mengakui hubungannya dengan bekas suami juga lebih baik.

"Saya seorang yang tidak suka bergaduh dan saling bermasam muka, sebab itu kami sepakat mahu memberikan suasana harmoni kepada dua anak biarpun keluarga mereka tidak seperti orang lain.

"Alhamdulillah, anak kami memahami situasi ibu dan bapanya, biarpun masih kecil saya suka terangkan kepada mereka 'aturan' keluarga kami.

"Yang berpisah itu kami dan bukannya hubungan anak dengan ibu bapa, jadi dengan mengekalkan hubungan baik tanpa bermusuh sangat membantu emosi dan pembesaran anak kami," katanya.

Katanya, mereka berempat akan menghabiskan masa bersama hampir setiap bulan untuk memberi kegembiraan kepada dua anak, malah hubungan dengan keluarga mentua juga masih kekal baik.

"Anak tinggal dengan saya dan akan beraya dengan saya dulu sebelum giliran bapa mereka pula pada petang raya pertama atau raya kedua.

"Setiap tahun juga kami akan ambil gambar raya bersama sebagai satu keluarga lengkap. Ini untuk mencipta memori dan sebagai kenangan supaya anak tahu kami selalu ada untuk mereka," katanya.

Berhubung perkongsian videonya, Aqilah berkata, dia hanya berkongsi cerita dengan pengikut media sosialnya selain mahu menunjukkan penceraian tidak seharusnya memberi kesan kepada anak.

"Sebagai ibu bapa kita perlu memberi suasana baik kepada anak kerana tidak mahu mereka membesar dalam suasana tidak harmoni dan negatif.

"Saya tidak mahu mengaitkan isu bercerai mesti bergaduh hingga mengabaikan perasaan anak dan kenapa tidak kita ubah saja 'budaya' itu.

"Seperti di Australia contohnya ketika belajar di sana, saya lihat bekas suami isteri membawa anak mereka bermain di taman setiap hujung minggu.

"Ia menunjukkan nilai keibupaan itu masih tinggi," katanya sambil memberitahu mereka berdua masih belum menemui pengganti masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 8:00 PM