PERCERAIAN adalah perkara yang tidak diinginkan oleh semua pasangan yang sudah berkahwin. - FOTO Google
PERCERAIAN adalah perkara yang tidak diinginkan oleh semua pasangan yang sudah berkahwin. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


PERCERAIAN dalam rumah tangga sudah semestinya sesuatu yang paling tidak diinginkan selepas membina mahligai perkahwinan kerana ia memberi kesan yang buruk. Bukan sahaja kepada pasangan malah membabitkan psikologi kanak-kanak dan kedua-dua belah keluarga menjadi renggang.

Lebih teruk, apabila perceraian itu berlaku dalam keadaan yang tidak harmoni. Perbalahan antara kedua-dua belah pihak turut mengundang rasa membenci dalam kalangan mereka yang tidak terbabit secara tidak langsung seperti rakan-rakan.

Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, perceraian mudah disebut di mulut, kadang kala pantas pula berlaku antara pasangan suami dan isteri yang pernah bercinta, berkasih dan saling sayang-menyayangi. Ada perceraian yang berlaku atas persetujuan bersama, ada pula kerana ketidakadilan dalam perkahwinan.

"Malah, ada pendapat yang menyatakan sepasang suami isteri yang berpisah atas sebab perceraian tidak dapat melupakan tragedi ini seumur hidup dan mereka pasti bermusuh sampai ke mati.

"Walaupun realitinya tidak indah, namun tiada sebab untuk suatu perceraian membawa permusuhan dan dendam yang bukan hanya membabitkan pasangan itu tetapi juga ahli keluarga serta sahabat mereka. Kes perceraian pasangan selebriti yang berpisah secara berhemah dan bijaksana menjadi contoh buat semua," katanya.

Jelasnya, stigma perceraian yang selalunya sukar dihadapi berbanding dengan tragedi perceraian itu sendiri.

"Saya mulakan dengan pernyataan yang sering saya ulang jika berbicara berkenaan perceraian iaitu ia bukan suatu pencapaian dalam hidup seseorang! Tidak ada bakal isteri atau suami yang berkahwin dengan harapan untuk berpisah dan bercerai.

"Paling sukar kelak adalah hidup dengan label duda atau janda tetapi itu pun disebabkan segelintir ahli masyarakat yang hidup mereka menjadi puas apabila melihat kegagalan hidup orang lain," katanya.

Tambahnya, jika diperhalusi, banyak kes cerai berlaku yang kemudiannya membawa kebaikan. Misalnya, menyelamatkan isteri dan anak daripada keganasan rumah tangga atau melepaskan suami daripada amanah menjaga isteri yang tidak membina persefahaman dengannya.

HUBUNGAN antara pasangan perlu positif meskipun sudah bercerai untuk kebaikan anak-anak. - FOTO Google
HUBUNGAN antara pasangan perlu positif meskipun sudah bercerai untuk kebaikan anak-anak. - FOTO Google

TRAUMA dengan cara perceraian yang berlaku menyebabkan hubungan pasangan sukar diperbaiki. - FOTO Google
TRAUMA dengan cara perceraian yang berlaku menyebabkan hubungan pasangan sukar diperbaiki. - FOTO Google

Dr Airil berkata, hakikatnya mudah, perceraian berlaku akibat dilema, konflik dan masalah yang mungkin sudah lama menjadi barah dalam sebuah rumah tangga. Jadi, jarang kita dengar perceraian yang berlaku secara baik.

"Bekas isteri dan suami hanya menunggu masa untuk bermusuh selain mencaci-maki sesama sendiri di khalayak ramai.

"Menurut seorang pakar psikoterapi Dr Tina Gilbertson, antara sebab utama permusuhan berlaku adalah harga diri yang jatuh teruk dan rosak kerana penceraian. Maka, bekas isteri atau suami akan bertindak secara defensif dan menyerang pasangannya demi untuk menaikkan kembali harga diri masing-masing," katanya.

Katanya, data penyelidikan ahli antropologi Dr Helen Fisher pula menunjukkan perceraian berlaku dalam empat keadaan iaitu tiada komitmen dalam perkahwinan, kecurangan, konflik yang berpanjangan dan keganasan rumah tangga misalnya kerana najis dadah. Dalam empat situasi ini secara logik akal, akhirnya adalah permusuhan tanpa kemaafan.

"Secara peribadi dan sebagai seorang yang pernah melalui episod perceraian, secara jujur memang amat mudah untuk kita membenci dan menyimpan dendam terhadap bekas isteri atau suami. Akan tetapi, benci dan dendam hanya merosakkan hidup kita.

"Untuk mereka yang terpaksa melalui tragedi perceraian, masa depan akan terasa gelap-gelita. Begitu banyak perasaan negatif akan datang silih-berganti. Harapan untuk bahagia akan rosak binasa dan hidup seakan-akan tiada ertinya lagi," katanya.

Katanya, rasa tidak puas hati, marah dan benci apabila perceraian berlaku selalunya tidak dapat dibendung dan akan dirasakan buat suatu jangka masa yang lama. Biar apa pun yang terjadi, anda perlu menjadi insan yang lebih matang.

"Biar apa pun sebab perceraian itu berlaku dan walaupun anda sebenarnya berada di pihak yang benar tetapi anda menjadi mangsa dalam perkahwinan secara jasmani, emosi atau intelek, maka anda perlu memilih menjadi pihak yang matang.

"Segala-gala yang terjadi jika dibawa ke mahkamah dan mendapat pengadilan, bererti selesai di mahkamah dunia. Di mahkamah selepas mati, itu bukan hak kita menentukannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 7:00 AM