BAGI pasangan yang memiliki zuriat, perceraian sepatutnya tidak menjadi punca kepada permusuhan.
BAGI pasangan yang memiliki zuriat, perceraian sepatutnya tidak menjadi punca kepada permusuhan.
Mahaizura Abd Malik dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Bukan mudah buat pasangan sudah berpisah untuk terus berdepan satu sama lain kerana sudah tentu luka akibat perpisahan masih berbekas.

Namun bagi pasangan yang memiliki anak, perceraian sepatutnya bukan tiket untuk bermusuhan.

Ini kerana mereka masih perlu kekalkan hubungan baik walaupun tidak sehaluan demi membesarkan dan menjaga emosi anak.

Ikuti perkongsian ini yang boleh dijadikan contoh kepada semua.

KISAH 1

Tidak mahu anak merasai peritnya membesar dalam keluarga berantakan, wanita ini dan bekas suaminya sepakat mengekalkan hubungan baik biarpun tidak sehaluan lagi.

Raja Syazwina Raja Sulaiman, 38, dan bekas suaminya, Mohd Arif Juraimi, 37, berpisah tiga tahun lalu atas faktor masalah keluarga selepas tujuh tahun melayari bahtera rumah tangga.

Menurut Raja Syazwina, biarpun jodoh tidak panjang, namun emosi dan keperluan dua anak mereka berusia tujuh dan sembilan tahun tetap menjadi keutamaannya dan Mohd Arif.

Katanya, dua anak menetap bersamanya lima hari seminggu manakala dua hari dengan bekas suaminya kerana hak penjagaan diberikan kepadanya.

"Setiap tahun untuk hari raya pertama Aidilfitri, mahkamah putuskan anak diberi kepada bekas suami, jadi saya pujuk anak kerana mereka menangis.

"Memang agak sukar tetapkan kami raya berempat kerana kampung saya di Pulau Pinang manakala bekas suami di Melaka.

"Jadi, apabila tengok keadaan anak macam itu, kami berbincang dan cuba mencari jalan demi kebaikan anak-anak," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, mereka memutuskan kekal berbaik selain cuba luangkan masa bersama anak-anak.

"Kami sepakat berbaik dan berkorban perasaan demi anak dan kalau sedih pun, tak boleh tunjuk kerana tidak mahu emosi anak terganggu.

"Apa sahaja aktiviti sekolah anak, kami datang, malah setiap hujung minggu kami berempat luangkan masa berjalan dan keluar makan," katanya.

RAJA Syazwina.FOTO Aziah Azmee
RAJA Syazwina.FOTO Aziah Azmee

Mengulas mengenai cabaran, Raja Syazwina berkata, dia perlu sentiasa bersabar dan bijak mengurus emosi anak terutama berdepan ragam mereka.

"Masa kami bercerai, anak memang tak faham apa hingga muncul pertanyaan contohnya kenapa kena pergi rumah ayah, kenapa ibu tak duduk sekali dan macam-macam lagi.

"Jadi sebagai ibu, kita perlu bersedia dengan jawapan. Sampai sekarang anak bongsu tak faham apa, dia cuma tahu ibu dan ayah tak boleh duduk sekali sebab tak kawan.

"Anak sulung pula semakin mula terima keadaan, cuma ada kalanya memberontak dan emosi terganggu apabila ayahnya tiada dengan kami," katanya.

Menurutnya, dia menganggap apa yang berlaku ke atas perkahwinannya sebagai satu hikmah dan mahu membesarkan anak dengan baik.

"Sebaik mungkin, saya ingin jaga emosi anak dan tidak mahu mereka rasa kekurangan dengan perceraian ini.

"Sebab itu kami perlu berbaik, tetapi saya tidak mahu bercakap soal hati dengan bekas suami lagi kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

"Bagi saya, apa pun berlaku, hidup perlu diteruskan dan saya perlu kuat demi anak," katanya.

KISAH 2

'Hubungan sebagai rakan lebih baik'

Kegagalan melayari bahtera perkahwinan sebagai suami isteri bukan bermakna gagal menjadi ibu dan bapa terbaik untuk dua anak yang semakin membesar.

Itu pegangan wanita dikenali sebagai Riasty, 38, yang menetap dan bekerja di Labuan selepas mengambil keputusan 'menoktahkan' perjalanan sebagai seorang isteri sejak lima tahun lalu.

Riasty berkata, dia berpisah dengan bekas suami dengan cara baik kerana mereka sudah tiada persefahaman dan mengakui hubungan sebagai rakan lebih baik untuknya.

Menurutnya, dua anak berusia sembilan dan 11 tahun kini di bawah jagaannya manakala bekas suami berada di selatan tanah air namun dia mengakui lelaki itu tidak pernah mengabaikan anak.

"Hakikatnya ikatan perkahwinan selama lapan tahun antara saya dan bekas suami sahaja terlerai, tetapi itu tidak bermakna anak kehilangan ibu atau ayah mereka.

"Bagi saya, untuk menjadi ibu ayah mereka, tidak semestinya kami perlu menjadi suami isteri.

"Sebab itu apabila ambil keputusan berpisah, kami sepakat menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa dengan baik supaya anak tidak merasai mereka daripada keluarga berpecah-belah," katanya.

Riasty berkata, apa yang dilakukan mereka untuk menjaga emosi anak dan mengambil pendekatan berbeza dalam menerangkan hubungannya dengan bekas suami yang dia tidak boleh tinggal bersama selain bapa anaknya perlu bekerja jauh.

"Saya bernasib baik kerana dua anak sangat memahami dan mereka seolah-olah tahu ibu bapanya tidak seperti dahulu tetapi dia masih ada keluarga lengkap biarpun kami tidak lagi bersama.

"Sehingga kini kami masih luangkan masa bersama, bercuti dan beraya bersama demi dua anak, malah hubungan kami dengan keluarga masing-masing sangat baik sehingga kini.

"Biarpun begitu kami faham batas agama dan pergaulan, malah anak sulung juga tahu saya perlu memakai tudung di hadapan bapanya," katanya yang mengakui penceraiannya hanya diketahui keluarga dan teman rapat sahaja.

Menurutnya, sehingga kini mereka belum menemui pengganti namun dia mengakui akan meneruskan hubungan baik dengan bekas suami sekiranya sudah berkahwin baharu nanti.

"Penceraian bukan alasan kita lupakan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan bagi saya, jika kita masih boleh berkawan, itu sangat bagus untuk membantu emosi dan proses pembesaran anak.

"Saya tidak mahu bermusuh kerana ia menjejaskan emosi.

"Saya anggap apa dilakukan ketika ini bukan tanggungjawab sebagai isteri sebaliknya tanggungjawab sebagai ibu, begitu juga bekas suami.

"Hasilnya anak kami membesar dengan emosi yang baik dan pembelajaran juga tidak terjejas," katanya.

Kesepakatan permudah kehidupan

Islam tidak melarang hubungan baik antara bekas suami isteri terutama dalam urusan membabitkan anak asalkan ia tidak melampaui batas agama.

Pensyarah Wacana Aqidah, Fiqh dan I'jaz al-Quran, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata, setiap mukmin adalah bersaudara dan tidak seharusnya mempunyai sifat permusuhan antara sesama insan.

Bagaimanapun, katanya, secara asasnya hukum bekas suami isteri bertemu adalah sama seperti dua orang ajnabi (asing) berlainan jantina bertemu dan ia juga perlu melihat kepada keperluan.

"Daripada sudut berjumpa, ia sama dengan orang yang berjumpa dengan orang bukan mahram. Sebab mereka sudah tidak ada hubungan daripada sudut perkahwinan, jadi kemesraan seperti suami isteri lain tidak boleh, tetapi untuk berjumpa tiada masalah.

"Asalkan ia mempunyai keperluan, menjaga batas, adab dan aurat, malah Islam memang menuntut semua umatnya menjaga hubungan baik sesama insan biarpun pada dasarnya penceraian yang berlaku itu berlaku atas beberapa faktor tetapi jika kita dapat mengelakkan permusuhan, itu sangat bagus dan dituntut," katanya.

Menurutnya, hubungan baik antara bekas suami isteri memainkan peranan penting dalam pembesaran dan emosi anak biarpun keluarga mereka sudah tidak lengkap seperti dahulu.

"Kesepakatan yang baik antara dua pihak membantu pembesaran, emosi dan pendidikan anak.

"Tidak salah bekas suami isteri kekalkan hubungan baik demi anak, malah itu sewajarnya dilakukan.

"Islam ini mudah, kewajiban melakukan kebaikan kepada orang lain sangat dituntut, tambahan pula kebaikan ibu atau bapa kepada anak,

"Justeru, bekas suami isteri perlu menjaga batasan agama seperti berjumpa di tempat umum bukan di tempat sunyi atau rumah tanpa ada orang lain, tidak duduk berdua-duaan serta menjaga adab dan aurat," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 7:10 AM