MUHAMAD Zulkeffli bersama ahli keluarganya.
MUHAMAD Zulkeffli bersama ahli keluarganya.
Oleh Redzuan Muharam


Kulim: Hajat Muhamad Zulkeffli Muhamad Zaini untuk bertemu dengan dengan ibu kandungnya, Rofizah Mat Saad selepas 25 tahun terpisah menjadi kenyataan apabila wanita itu sudah menghubunginya.

Dalam perbualan mereka, Muhamad Zulkeffli, 34, berkata, wanita itu mengaku dia ibu kandung yang dicari selama ini.

Lebih menggembirakan Muhamad Zulkeffli adalah apabila Rofizah, 52, bersetuju untuk pulang ke kampung dan beraya dengan mereka sekeluarga.

"Alhamdulillah, emak ada menghubungi saya beberapa hari selepas kisahnya disiarkan di Harian Metro dan Buletin TV9.

"Emak ada memohon maaf kepada saya dan akui kesalahannya. Sebagai anak, saya tidak pernah berdendam malah memang menunggu kepulangan emak.

"Saya mengajak emak menyambut Aidilfitri bersama dan syukur dia setuju untuk pulang ke kampung serta bertemu kami 1 Syawal nanti," katanya.

Bapa dua anak itu berterima kasih kepada Harian Metro, TV9 dan semua pihak membantu hingga dia dapat menjejaki semula ibunya.

"Saya hargai pertolongan semua terutama pihak Harian Metro dan TV9.

"Cuma, saya mohon maaf kerana tak dapat bawa emak ke depan memandangkan dia pesan enggan semua itu (publisiti) sebab malu.

"Saya nak kongsikan (perkembangan) di Facebook pun emak tak bagi jadi terpaksa ikut permintaannya.

"Emak nak jumpa kami menyambut hari raya pun saya sudah cukup bersyukur kerana sudah lama menanti detik itu," katanya.

Terdahulu, akhbar Harian Metro dan Buletin TV9 menyiarkan kisah Muhamad Zulkeffli yang menjejaki ibu kandungnya selepas terpisah sejak dia berumur sembilan tahun.

Susulan pendedahan itu, Muhamad Zulkeffli mendapat petunjuk baharu lokasi ibu kandungnya itu.

Muhamad Zulkeffli, maklumat itu diterima selepas dihubungi orang awam yang memaklumkan ibunya, Rofizah Mat Saad berada di Ara Kuda, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Bagi mendapat kepastian, Muhamad Zulkeffli yang menetap di Kampung Sedim di sini ke lokasi yang dimaksudkan dengan ditemani rakannya pada 2 dan 3 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 7:00 AM