Redzuan Muharam

Merlimau: "Selagi ada kudrat, saya akan terus menjaganya kerana sudah menganggap emak mentua seperti ibu kandung sendiri," kata ibu empat anak, Nurhamizah Zainuddin.

Nurhamizah, 36, mendapat perhatian di TikTok selepas berkongsi kisahnya menguruskan ibu mentua, Timah Salleh, 75, yang sudah lama uzur dan lumpuh pada sebelah kiri badan kerana mengalami strok.

Bukan setakat itu, Nurhamizah yang menetap di Taman Merlimau Baru di sini , turut menjaga bapanya, Zainuddin Hanif, 71, yang diserang strok pada kanan badan hampir sebulan lalu.

Biarpun bekerja sebagai tukang jahit di sebuah butik pengantin, Nurhamizah dapat membahagikan masanya, malah tidak pernah ketinggalan menguruskan keperluan ibu mentua dan bapanya setiap hari.

"Emak mentua saya sudah lama sakit, seingat saya sejak 17 tahun lalu dan saya sudah bantu menjaganya sebelum berkahwin dengan suami lagi.

"Selain emak (mentua), saya sempat menjaga ayah mentua yang menghidap Alzheimer sebelum meninggal dunia akibat sakit tua selepas dua tahun saya dan suami berkahwin.

"Sejak itu, saya beri tumpuan kepada emak mentua dan ikutkan, kami sudah 11 tahun tinggal bersama. Cuma dulu, kami berdua tidak berapa 'ngam' namun kini agak rapat hingga saya tahu apa dia suka juga dan sebaliknya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi rutin hariannya, Nurhamizah berkata, walau sesibuk mana sekalipun, dia akan cuba memperuntukkan masa untuk menguruskan keperluan ibu mentua dan bapanya.

Menurutnya, suaminya, Mohd Saipol Mohd Aris, 38, ke tempat kerja agak awal jika bekerja syif pagi jadi dia yang akan membantu memandikan emak mentua sebelum keluar rumah.

Norhamizah bersama ibu mentua dan bapa kandungnya yang lempuh separuh badan kerana mengalami strok. Foto Ihsan Nurhamizah Zainuddin
Norhamizah bersama ibu mentua dan bapa kandungnya yang lempuh separuh badan kerana mengalami strok. Foto Ihsan Nurhamizah Zainuddin

"Selepas itu, saya ambil alih tugasnya dengan beri sarapan kepada emak mentua selain sediakan keperluannya dan itu sudah menjadi rutin harian setiap pagi.

"Waktu tengah hari pula saya gunakan untuk ambil anak pulang dari sekolah kemudian ke butik untuk bekerja.

"Selesai kerja, saya terus ke rumah ayah yang tinggal dalam satu kawasan untuk membantu menguruskannya selain beri suntikan insulin memandangkan dia (ayah) menghidap diabetes. Kemudian, baru saya pulang ke rumah," katanya.

Nurhamizah mengakui rutin menguruskan ibu mentua dan bapanya itu tidak mudah malah menuntut banyak kesabaran.

Bagaimanapun, cabaran itu hanya dirasai pada peringkat awal kerana kini, dia sudah terbiasa melakukannya dan tidak pernah jemu.

"Suami banyak beri galakan kepada saya, malah dia sentiasa berpesan supaya sentiasa bersabar.

"Jadi, itu yang menjadi pegangan saya dan sebenarnya, suami juga yang memberi inspirasi untuk terus menguruskan emak mentua serta ayah.

"Ini kerana saya pernah melihat kesungguhan dan kesabaran suami yang tidak pernah marah-marah ketika menjaga ibunya dulu jadi sebagai menantu, apa salahnya untuk saya membantu.

"Lagipun, saya tidak berseorangan kerana adik-beradik lain ada bantu uruskan ayah, manakala ipar turut bergilir-gilir menjaga emak mentua dan semua ini dilakukan demi orang tua kami," katanya.

Bagaimanapun, Nurhamizah tidak dapat menghalang kata-kata negatif dilemparkan netizen di laman sosial.

"Video dimuat naik di TikTok itu sekadar perkongsian rutin saya saja dan terharu kerana ramai juga yang mendoakan kesihatan ayah juga mak mentua.

"Diharap, perkongsian itu menjadi peringatan untuk saya dan mereka yang menonton supaya terus berbakti kepada ibu bapa selagi ada kesempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 9:00 PM