Redzuan Muharam


Kuala Selangor: Biarpun datang daripada latar belakang berbeza, Siti Musliha Supaat tidak kekok untuk beramah mesra dengan besannya yang juga warga Jepun.

Siti Musliha, 60, juga menerima kedatangan besannya itu sebagai tetamu dengan tangan terbuka walaupun tidak tahu bertutur bahasa Jepun.

Keramahan Siti Musliha melayan besannya itu mendapat perhatian netizen selepas salah seorang anaknya, Farah Waheeda Md Ariffin, 31 memuat naik video pertemuan berkenaan di TikTok.

Berkongsi kisah di sebalik video berkenaan, Farah Waheeda berkata, video dirakam ketika kunjungan ibu bapa mentua adik bongsunya, Muhammad Izzuddin Md Ariffin, 28, di rumah ibunya dekat Kampung Bukit Badong, di sini, baru-baru ini.

"Emak berbesan dengan mereka sejak dua tahun lalu selepas adik berkahwin dengan isteri warga Jepun (Kanari Khaleelah, 27).

"Hubungan emak dan besannya baik malah ada berhubung menerusi panggilan video.

"Kiranya, mereka tidak bertemu sebelum ini jadi emak beritahu dia agak gementar untuk jumpa besannya.

"Bagaimanapun, pertemuan itu berjalan dengan baik malah besan emak sangat ramah dan mereka cuba bersembang walaupun tidak faham bahasa masing-masing, "katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Farah Waheeda berkata, adiknya, Muhammad Izzuddin menjadi penterjemah dalam pertemuan antara ibu dan besannya.

"Emak ada belajar bahasa Jepun yang asas saja melalui 'Google Translate' seperti ungkapan selamat datang, apa khabar, jemput makan dan lain-lain yang ringkas saja.

"Mujurlah adik ada maka dia yang jadi penyelamat dengan menjadi penterjemah emak dan besannya.

"Seronok lihat kemesraan mereka dan sebagai tanda kenangan, emak dan besannya ada bertukar hadiah dengan satu sama lain. Besan emak juga menangis ketika bersalaman dengan emak sebelum

pulang ke Jepun," katanya.

Berhubung video yang tular, Farah Waheeda berkata, ibunya ada memuat naik video pertemuan dengan besannya di Facebook untuk disimpan sebagai kenangan.

"Bagaimanapun, yang tular adalah video dimuat naik saya di TikTok. Apabila beritahu emak yang videonya hampir mencecah sejuta tontonan sebelum ini membuatkan emak nak tengok TikTok saya dan baca komen.

"Komen netizen buat emak tersenyum kerana ada yang kelakar dan kebanyakan pengikut di TikTok suka melihat pertemuan dua budaya malah ada yang minta petua bercakap Jepun dengan besan.

"Tak sangka sampai begitu reaksi diterima dan menurut emak, dia ada perancangan menziarahi besannya di Jepun satu hari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 6:32 PM
SITI Musliha (dua dari kiri) seronok dengan kedatangan besannya. FOTO Ihsan pembaca.
SITI Musliha (dua dari kiri) seronok dengan kedatangan besannya. FOTO Ihsan pembaca.