Achey syukur ibu semakin pulih.
Achey syukur ibu semakin pulih.
Oleh Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Ibu pelawak popular, Achey, 35, iaitu Ngaisah Hassan 73, semakin pulih daripada Covid-19 dan dijangka sudah boleh pulang ke rumah, hari ini.

Achey ketika dihubungi berkata, berita itu diketahui pagi semalam dan dia tidak sabar untuk menanti kepulangan ibunya ke rumah selepas lebih 20 hari mendapat rawatan di Hospital Segamat akibat virus itu.

"Berita baiknya, pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan emak mungkin boleh balik ke rumah esok (hari ini). Tapi, saya tak pasti lagi. Namun, alhamdulillah emak sekarang sudah dipindahkan ke wad biasa dan dia tak duduk di wad Covid-19 lagi.

"Emak memang sangat-sangat kuat dan saya sekeluarga amat gembira dengan perkembangan kesihatannya yang semakin baik dan kembali pulih daripada wabak berbahaya itu.

"Boleh dikatakan emak adalah salah seorang berada dalam kelompok kecil yang mampu bertahan melawan Covid-19 itu walaupun keadaan kesihatannya sebelum ini kurang baik dengan penyakit pankreas dihidapi," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Achey, dia tidak sangka semangat juang ibunya sangat tinggi untuk terus kuat melawan virus itu dan kini kembali pulih.

"Emak memang hebat. Dengan penyakit sedia ada dihidapinya yang kronik dia masih boleh melawan Covid-19 dengan semangat, kekuatan dan ingatannya yang sentiasa ingat kepada Allah SWT.

"Saya rasa itu di antara apa yang diamalkan oleh emak," katanya.

Baru-baru ini, Achey ada memaklumkan dia sudah mengusahakan membeli mesin oksigen sendiri untuk kegunaan ibunya apabila dibenarkan pulang ke rumah nanti.

Katanya, keperluan mesin oksigen di rumah itu sebagai langkah berjaga-jaga pada masa kecemasan sekiranya ibunya didapati mengalami masalah pernafasan di rumah.

Terdahulu, ibu Achey disahkan positif Covid-19 pada 3 Ogos lalu bersama kakak dan abangnya menerusi keputusan ujian saringan dibuat mereka.

Selepas itu, beberapa lagi anggota keluarga yang lain turut dijangkiti virus itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 11:24 AM