PENGGAMBARAN filem genre aksi romantik berjalan selama lebih sebulan.
PENGGAMBARAN filem genre aksi romantik berjalan selama lebih sebulan.
Ramlah Zainal


DI sebalik kelembutan dan kejelitaan wajahnya, pendatang baharu, Ahirine Ahirudin, 26, sebenarnya memiliki jiwa yang lasak selaras dengan minatnya dalam aktiviti Muay Thai dan sukan permotoran.

Bersandarkan pakej lengkap dan minat dalam cerita aksi, Ahirine nekad menceburi bidang lakonan.

Ternyata pesona dan kelebihan dimiliki Ahirine berjaya menarik minat penerbit dan pengarah untuk menawarkannya berlakon dalam filem terbitan mereka.

Baharu dua tahun berlakon, Ahirine sudah beraksi sebagai heroin menerusi tiga filem dan drama iaitu Gadis Jolobu The Movie, Remp-it 2, The Bridge dan terbaharu Tebus.

Walaupun lakonannya dalam Gadis Jolobu The Movie dan Remp-it 2 menerima kritikan, Ahirine tidak mudah mengalah, sebaliknya semakin bersemangat untuk memperbaiki prestasi lakonan sedia ada.

"Jika dulu, saya hanya beraksi sebagai pelakon lagak ngeri dan di belakang kamera, tetapi kali ini berbeza kerana saya perlu berlakon di depan kamera.

"Terus terang, selepas dua tahun saya mula jatuh cinta dalam bidang lakonan terutama jika berlakon dalam cerita aksi," katanya kepada RAP.

Ahirine mengakui, dia tidak cepat melatah bila namanya terpalit dengan kontroversi, baru-baru ini.

Menurut Ahirine, dia didakwa menjadi orang ketiga dalam keretakan rumah tangga pasangan pelakon Farid Kamil dan Diana Danielle gara-gara video pelakon itu membantunya memakai topi keledar yang dimuat naik di TikTok.

 ANTARA babak menarik Ahirine dalam filem Tebus ketika penggambaran di Sarawak.
ANTARA babak menarik Ahirine dalam filem Tebus ketika penggambaran di Sarawak.

"Saya terkejut apabila nama dikaitkan sedangkan cerita itu tidak berasas kerana menganggap Farid dan Diana sebagai rakan seperjuangan dalam bidang seni dan pada masa sama terbabit dalam sukan Muay Thai.

"Apapun, setiap kontroversi yang datang saya hadapi dengan tenang dan menganggapnya sebagai harga yang perlu dibayar sebagai anak seni," katanya.

Berkongsi filem terbarunya Tebus arahan Jason Chong pula, kata Ahirine, dia berganding dengan Aedy Ashraf dan Azhan Rani selaku teraju utama.

"Saya baru selesai penggambaran filem genre aksi romantik itu selama lebih sebulan di Sarawak. Saya melakonkan watak Ana, anak orang kaya yang suka memberontak dan tidak setuju apabila ibu bapa mahu menjodohkannya dengan pilihan mereka," katanya.

Ditanya mengenai wataknya, kata Ahirine, dia berdepan cabaran besar untuk menjiwai watak Ana dalam filem itu.

"Watak kali ini berbeza kerana saya perlu banyak menangis dan tidak pernah dilakonkan sebelum ini. Bagi menjiwai watak, saya juga mengikuti kelas lakonan bersama Fauziah Nawi dan Pekin Ibrahim," katanya.

Mengenai babak aksi pula, Ahirine berkata, dia juga mengalami lebam-lebam di tangan dan kaki ketika menjiwai babak dipukul dan dirogol dalam filem itu.

AHIRINE pegang watak Ana dalam filem Tebus.
AHIRINE pegang watak Ana dalam filem Tebus.

"Ada babak aksi yang saya perlu buat sebanyak 10 kali untuk mendapat hasil seperti dikehendaki jalan ceritanya. Walaupun saya ada seni Muay Thai, tapi kaki dan tangan teruk lebam-lebam itu perkara biasa jika kita berlakon dalam filem aksi.

"Ada juga babak yang berbahaya di mana saya perlu berenang di Sungai Sarawak. Namun pihak produksi sediakan segala langkah keselamatan yang perlu seperti paramedik, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 7:00 AM