AHIRINE mahu lakar pencapaian luar biasa sebagai pelakon disegani. - FOTO Rohanis Shukri
AHIRINE mahu lakar pencapaian luar biasa sebagai pelakon disegani. - FOTO Rohanis Shukri
Georgie Joseph


Dari pengamal sukan permotoran, kemudian ceburi kewartawanan dan kini mengejar impian jadi pelakon. Gadis jelita Ahirine Ahirudin terus mengejar bidang diminatinya tanpa putus asa.

Ahirine, 26, yang bernaung di bawah pengurusan Prodigee Asia Talent (PAT) milik WebTVAsia kini berazam ingin 'all out' dalam lakonan pula. Misinya besar untuk letakkan namanya setinggi yang boleh.

Sebagaimana keberhasilan mencipta nama dalam arena permotoran, dia sedia mengulangi kejayaan sama dalam bidang seni. Pelakon filem Gadis Jolobu The Movie itu enggan lepaskan peluang keemasan terbentang luas sekarang.

Amat meminati filem aksi, Ahirine menjadikan Tan Sri Michelle Yeoh sebagai idolanya. Justeru, dia sedia menyalurkan sepenuh jiwa raga untuk melakar pencapaian luar biasa sebagai pelakon disegani.

"Kita semua kenal Michelle sebagai nama yang cukup ikonik di seluruh dunia. Dia berjaya meletakkan dirinya dalam kelas tertentu sebagai pelakon aksi yang cukup disegani.

"Sebagai peminat bidang lakonan terutama aksi, saya sangat idolakan dia. Saya berharap suatu hari nanti dapat mencapai kejayaan sebagaimana dilakarnya sebagai pelakon serba boleh.

"Oleh itu, saya sedia untuk 'all out' apa yang saya ada demi mengejar misi itu. Saya tahu masih terlalu awal untuk cakap besar, tapi semangat saya memang membara ingin berjaya sebagai pelakon," katanya.

Sebelum beralih ke depan tabir, Ahirine aktif menjadi pelakon pendua terutama babak aksi. Katanya, dulu dia tidak kisah, tapi sekarang dia ingin tonjolkan diri ke depan pula.

AHIRINE mahu jadi pelakon sehebat Michelle Yeoh. - FOTO Rohanis Shukri
AHIRINE mahu jadi pelakon sehebat Michelle Yeoh. - FOTO Rohanis Shukri

"Oleh kerana saya terlalu minat dan aktif buat aksi lasak, saya rela berlakon dengan memakai topi keledar. Bagi saya, itu satu kepuasan tidak terhingga apabila dapat tunjukkan kemahiran saya.

"Tapi itulah, kalau tutup muka tak dapat tunjuk ekspresi wajah sebagai pelakon. Sekarang saya sedia lakukan itu dan buktikan mampu menjadi pelakon berkaliber," katanya.

Menariknya, Ahirine juga sudah cukup sibuk menjayakan pelbagai tawaran lakonan kebelakangan ini. Antara yang mengujakannya adalah terbabit dalam filem What! The Heist arahan Matt Lai.

Menyifatkannya sebagai karya begitu hebat, dia juga tidak kisah dialognya tidak banyak. Baginya dipilih membintangi naskhah yang sangat kena pada jiwanya pun sudah membanggakan.

"Dalam filem itu, saya diberikan dialog yang sedikit, tapi banyak melakukan aksi lasak. Ini kerana, kebanyakan pelakon terbabit menggunakan bahasa Mandarin, jadi bahagian saya agak terhad.

"Itupun sudah cukup memadai kerana tugas yang saya lakukan memang berbaloi. Saya dapat tunjukkan kelebihan menerusi aksi lasak dan tidak sabar melihat hasil akhir filem hebat itu nanti," katanya.

Dalam pada itu, Ahirine juga menafikan dia sebenarnya sudah meninggalkan bidang kewartawanan sepenuhnya. Bekas wartawan HLive ini akui jiwanya masih mencintai bidang terbabit dan tidak pernah berhenti.

"Sebenarnya saya bukan berhenti terus. Saya cuma berehat sebentar kerana fokus sekarang adalah untuk kembangkan nama dalam bidang lakonan pula.

"Saya juga sekali sekala ada terbabit sebagai wartawan dalam bidang permotoran dan masih menggalas tugas itu. Saya takkan tinggalkan bidang kewartawanan begitu saja dan terbuka kembali menyertainya," katanya.

DIPILIH menjadi bakat naungan Prodigee Asia Talent, WebTVAsia. - FOTO Rohanis Shukri
DIPILIH menjadi bakat naungan Prodigee Asia Talent, WebTVAsia. - FOTO Rohanis Shukri

Tak pernah rasa cantik

Selepas namanya semakin dikenali sebagai pelakon, Ahirine tidak terlepas daripada kata-kata sinis bahawa kehadirannya sekadar menjual rupa. Kejelitaannya diakui ramai, tapi dia sendiri tidak pernah berasa begitu.

"Sejujurnya ramai lagi pelakon lain yang jauh lebih cantik berbanding saya. Bukan saya tak yakin, tapi saya tak pernah berasa diri cantik.

"Misi saya dalam bidang lakonan pun bukan untuk suka-suka. Saya mahu buktikan kemampuan untuk menjadi pelakon serba boleh dan bukan sekadar sebagai pelakon aksi lasak semata-mata," katanya.

Sebagai pelakon baharu, Ahirine tidak mahu membataskan dirinya dalam memenuhi apa juga watak diberikan kepadanya. Dia sedia menurut segala arahan produksi kerana baginya bertanggungjawab itu penting.

"Saya sudah sedia penuhi tuntutan setiap pengarah terhadap watak diberikan. Saya enggan tetapkan had tertentu dan turuti arahan daripada pengurusan sebagaimana mereka mahukan.

"Selain aksi, saya juga teringin genre lain seperti romantik dan thriller. Saya pencinta drama Korea dan sebenarnya 'hati tisu' apabila menonton drama romantik," katanya.

Ahirine ditemui pada sidang media pengumumannya sebagai bakat naungan PAT. Perlantikan itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif serta pengasas WebTVAsia, Fred Chong serta Ketua Bahagian Perniagaan Domestik WebTVAsia, Suzanna Sukaimi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 6:00 AM