Ahmad Ismail

Muar: Hajat seorang ibu yang meninggalkan kesemua anaknya di kediaman demi keluar mencari kelengkapan berbuka puasa berakhir tragedi apabila keempat-empat beradik itu ditemukan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, dalam kejadian 7.49 malam itu, mangsa, Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam bilik air di bahagian dapur kediaman mereka.

Menurut Raiz Mukhliz, ketika kejadian, ibu mangsa berusia 31 tahun terpaksa keluar sebentar untuk ke kedai berhampiran, manakala bapanya yang berusia 30 tahun bekerja di sebuah restoran di sekitar bandar, di sini.

"Maklumat awal oleh ibu mangsa mengatakan keempat-empat anaknya ditinggalkan sementara di rumah dalam keadaan pintu bahagian dapur tidak berkunci.

"Bagaimanapun, kita percaya keadaan api marak menyebabkan empat beradik ini gagal mencari jalan keluar sebelum kesemua mayat ditemukan di dalam tandas dipercayai. Mereka (di situ) bagi tujuan menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Sabar Awor, Jalan Ismail, di sini, malam tadi.

IBU, bapa kepada mangsa empat beradik maut kebakaran di Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar. FOTO
IBU, bapa kepada mangsa empat beradik maut kebakaran di Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar. FOTO

Beliau berkata, ibu mangsa yang baru keluar selama 10 minit mengetahui mengenai kebakaran itu selepas dihubungi jiran.

"Kebakaran dipercayai berpunca akibat litar pintas, namun ia masih dalam siasatan lanjut pihak bomba. Mangsa sudah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan setakat ini, kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Terdahulu, 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dan BBP Bukit Gambir dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran.

Raiz Mukhliz, bomba mengambil masa lima minit bagi mengawal kebakaran yang sudah merebak sehingga 70 peratus.

"Pemadaman berjaya dilakukan beberapa minit kemudian dengan kemusnahan sebanyak 80 peratus.

"Setelah api padam sepenuhnya, bomba bertindak membuat pencarian mangsa sebelum menemukan mayat dua kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 8:08 AM