Raiz Mukhliz Azman Aziz. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Raiz Mukhliz Azman Aziz. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Ahmad Ismail


Muar: Kertas siasatan kebakaran yang menyebabkan kematian empat beradik di Kampung Sabak Awor, di sini akan dikemuka kepada pejabat pendakwa raya sekiranya terdapat elemen kecuaian atau jenayah disengajakan.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, setakat ini siasatan awal tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada litar pintas.

Bagaimanapun, pihaknya tetap melakukan siasatan dari segala aspek secara menyeluruh dan masih menunggu laporan forensik bomba mengenai punca kebakaran.

"Sekiranya ada unsur kecuaian daripada dapatan pihak bomba, jadi fokus kita akan ke arah bawa kertas siasatan kepada pihak pendakwa raya... (nilai) sama ada kecuaian atau jenayah mahupun jenayah yang tidak disengajakan," katanya yang ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini hari ini.

Raiz Mukhliz berkata, pihaknya bersama bomba akan meneruskan program advokasi berkaitan keselamatan kanak-kanak ketika berada di rumah termasuk apabila berhadapan situasi kecemasan.

Dalam kejadian 7.49 malam tadi, empat beradik berusia antara tiga tahun hingga lapan tahun meninggal dunia selepas rumah mereka terbakar.

Mereka ditemui tidak sedarkan diri oleh pasukan bomba dalam bilik air di rumah separa kekal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 2:19 PM