ASISTEN Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ASISTEN Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Ahmad Ismail


Muar: Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden kebakaran menyebabkan empat kanak-kanak maut di Kampung Sabak Awor dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata walaupun siasatan mendapati kejadian itu tiada mempunyai unsur khianat, namun punca sebenar kejadian belum dapat dipastikan.

"Kita meminta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi termasuk penyebaran di media sosial dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat hendaklah menyalurkannya kepada pihak polis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di talian telefon 06-9564800 atau pergi ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Raiz Mukhliz, siasatan di lokasi kejadian turut tidak menemukan beberapa bukti yang boleh dikaitkan dengan perbuatan khianat.

Katanya, rumah keluarga mangsa adalah di sewa dan seramai enam orang mendiaminya terdiri daripada bapa bersama isteri, dua anak perempuannya dua orang anak lelaki.

"Pihak polis sudah menemubual serta merakam percakapan ibu bapa mangsa serta jiran dan berdasarkan keterangannya, kedua-duanya tiada di rumah ketika kejadian.

"Mereka bergegas pulang selepas dimaklumkan dan mendapati api merebak dengan cepat menyebabkan hampir keseluruhan rumah terbakar manakala empat anaknya maut," katanya.

Katanya, jiran mangsa yang mulanya tidak menyedari ada penghuni ketika kejadian kemudiannya menjerit memanggil kanak-kanak berkenaan, namun mereka tidak berjaya diselamatkan.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 6:15 PM