GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Ismail


Muar: Lelaki berusia 75 tahun ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Jalan Perdana 2, Taman Perdana, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya dimaklumkan berkaitan kejadian jam 10.47 malam.

"Mayat ditemukan di katil dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam lalu.

"Hasil siasatan awal tiada kesan kecederaan pada badan mangsa malah tiada barangan peribadinya hilang.

"Mayat dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk proses selanjutnya," katanya hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Menurutnya, polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi IPD Muar di talian 06-9526001.

Sementara itu, perkarangan rumah mangsa dipenuhi kenderaan dipercayai ahli keluarga.

Seorang ahli keluarga yang berusia 40-an yang enggan dikenali berkata, dia cuba menghubungi bapa saudaranya itu sejak beberapa hari lalu namun gagal.

"Saya bergegas ke sini untuk menziarahinya namun terhidu bau kurang menyenangkan sebelum menghubungi polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 12:44 PM