FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tidak harus menyalahkan syarikat atau agensi menawarkan pakej umrah semata-mata berikutan siasatan turut perlu dilakukan terhadap syarikat penerbangan yang memperuntukkan tiket tempat duduk.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) Datuk Seri Razali Mohd Sham berpandangan, tindakan diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini turut perlu menyentuh isu salah guna kuasa.

"Perkara ini dalam siasatan, jadi biarlah pihak berkuasa (SPRM) menentukan sama ada ini (pembabitan) kartel atau ada unsur salah guna kuasa.

"Namun bagi saya, ia lebih kepada salah guna kuasa dan bukan (salah) kartel semata-mata. Saya mengenali mereka semua. Mereka hanya pengusaha kecil (agensi pakej umrah) termasuk syarikat penerbangan luar negara yang menggunakan ejen penjualan tiket (GSA).

"Untuk lebih adil, kita berharap pihak berkuasa menyiasat semua pihak berkaitan termasuk syarikat penerbangan tempatan yang menawarkan tiket penerbangan," katanya.

Menurutnya, bagi lebih adil, beliau berharap pihak berkuasa menyiasat semua pihak berkaitan termasuk syarikat penerbangan kerana menawarkan 50,000 atau 70,000 tempat duduk mencecah sehingga RM5,000 untuk satu tiket berbanding harga asal RM2,700.

Beliau baru-baru ini mendedahkan tindakan 'kartel umrah' membolot tiket penerbangan membabitkan pakej umrah dan haji di negara ini.

Beliau mendakwa, sebahagian besar jumlah tiket yang ditawarkan syarikat penerbangan dibolot beberapa syarikat besar atau pihak ketiga sehingga menyebabkan kenaikan harga tiket yang melambung tinggi.

Menurutnya, terdapat lebih 1,000 pemain industri yang menawarkan pakej umrah namun tiket penerbangan hanya diberi kepada lima hingga 10 syarikat sahaja, sekaligus menyebabkan syarikat kecil terpaksa berebut atau bersaing untuk membeli baki peratus tiket yang ada.

Jemaah turut tanggung dosa jika subahat rasuah

Jemaah umrah yang mengetahui dia menggunakan khidmat berunsurkan rasuah akan menanggung dosa kerana bersubahat dan menggalakkan rasuah berlaku.

Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa, Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, ibadah umrahnya sah namun tidak mendapat umrah mabrur kerana menunaikan umrah dengan cara haram dan sumber tidak betul.

Katanya, jemaah perlu peka dan mengambil tahu prinsip menunaikan umrah ialah untuk beribadah jadi jangan mulakan dengan rasuah atau perkara tidak betul.

"Perbuatan mengambil rasuah daripada orang tertentu atau kartel tiket atau kita beri rasuah untuk dapatkan tiket penerbangan daripada kartel serta mengenakan caj kepada jemaah dengan harga tinggi bagi menghalalkan rasuah, maka hukumnya adalah haram dan sudah pasti salah di sisi undang-undang.

"Jemaah yang tahu perbuatan kartel atau ejen memberi rasuah untuk mendapatkan tempat tiket penerbangan, maka dalam situasi ini, jemaah juga akan tanggung dosa rasuah kerana subahat dan menggalakkan rasuah dalam kalangan kartel serta agensi pelancongan.

"Bagi jemaah yang tidak mengetahui urusan rasuah yang dibuat oleh agensi bersama kartel, maka ibadah umrah mereka itu sah dan jika dibuat dengan betul sudah pasti mendapat umrah mabrur," katanya.

Beliau berkata, Islam mengharamkan semua jenis rasuah dan penipuan khususnya mengambil hak orang lain.

"Islam tidak benarkan kita gunakan istilah rasuah dengan istilah lain seperti pendapatan sampingan, upah, sedekah, hadiah atau komisyen yang diberi tanpa menepati hukum hakam atau undang-undang.

"Perlu diingatkan bahawa jika kita menerima upah atau komisyen dari perbuatan salah apatah lagi dengan mengambil hak orang, maka itu dikira rasuah.

"Sebab itu Islam mengharamkan semua jenis rasuah yang membebankan atau menipu orang lain," katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu mengekang isu berkenaan kerana ia mencemarkan kesucian Islam dan ibadah itu sendiri selain menganiaya hak orang lain.

Saran beri agensi beli tiket terus dengan syarikat penerbangan

Kerajaan perlu mengkaji kaedah bagi membolehkan agensi umrah mendapatkan tiket penerbangan secara terus daripada syarikat penerbangan tanpa melalui ejen bagi mengelakkan berlakunya monopoli oleh pihak tertentu.

Penganalisis jenayah yang juga pakar kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, kerajaan terutama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya perlu memantau pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan supaya harga tiket tidak meningkat secara mendadak seperti yang berlaku sebelum ini.

"Kerajaan perlu kaji kaedah yang sesuai dalam isu penjualan tiket penerbangan umrah secara terus kepada agensi umrah memandangkan ada syarikat penerbangan yang dikendalikan oleh kerajaan.

"Pada masa sama, kerajaan juga kena pantau dan pastikan bahawa hanya agensi-agensi umrah yang tulen sahaja dibenarkan untuk mendapatkan tiket penerbangan secara terus itu," katanya dihubungi semalam.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membongkar sindiket rasuah pengagihan kuota tiket penerbangan umrah membabitkan kira-kira 216,000 tiket dianggarkan bernilai RM10.8 juta sejak 2018.

Enam individu iaitu pengarah serta kakitangan syarikat pelancongan di enam syarikat ditahan SPRM dalam operasi khas di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

Taktik sindiket adalah mengenakan bayaran rasuah RM50 hingga RM250 bagi setiap kuota tiket jemaah umrah.

Ia bagi memastikan agensi umrah mendapat kuota tempat duduk dalam setiap penerbangan dijadualkan.

Sahul Hamid berkata, kegiatan yang dilakukan oleh kartel itu adalah jenayah serius kerana membabitkan jemaah umrah yang sepatutnya boleh mendapatkan tiket penerbangan pada harga lebih murah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 7:45 AM