GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA) menyambut baik dan menyokong Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) berkaitan syor harga lantai bagi pakej ekonomi umrah bermula dari RM7,800 manakala bagi pakej VIP bermula dari RM14,000 bagi setiap Jemaah.

Presidennya, Fathir Badri Alhadad berkata, SAFTTA juga bersetuju dengan langkah yang diambil oleh PAPUH bagi mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan seperti Saudia Airlines, Air Asia dana Air Arabia dalam usaha mengawal harga tiket daripada pihak-pihak tertentu yang cuba untuk memanipulasi harga dengan menjadi kartel tiket.

"Kos pengendalian jemaah umrah seperti harga hotel serta pengangkutan di Makkah dan Madinah yang melambung tinggi menyebabkan pengendali umrah berlesen tidak dapat bertahan dengan harga sebelum ini. Bayangkan jika harga hotel lima bintang sebelum ini antara RM700 hingga RM1,000 kini harganya antara RM1,600 hingga RM2,000 bagi setiap bilik satu malam.

"Peningkatan harga ini adalah disebabkan permintaan yang tinggi daripada jemaah dari seluruh dunia yang kini ramai mengerjakan umrah. Harga ini kita tidak dapat kawal kerana luar bidang kuasa kita di Malaysia.

"Harga yang mungkin dapat kita kawal adalah kenaikan harga tiket penerbangan kerana jika semua syarikat agensi pelancongan (TA) dapat membelinya terus daripada pihak penerbangan, pastinya harga akan lebih kompetatif," katanya.

Beliau berkata, apa yang menjadi masalah sekarang ialah kebanyakan TA terpaksa membeli tiket daripada TA yang mempunyai modal besar yang sudah memonopoli tiket penerbangan.

Menurutnya, langkah lain yang pihak berwajib boleh lakukan pada masa hadapan ialah menetapkan TA yang membeli tiket penerbangan secara pukal hanya boleh menjualnya semula kepada TA lain tidak lebih daripada 15 peratus daripada jumlah tiket yang mereka beli.

"Mereka juga perlu pulangkan semula kepada pihak penerbangan dalam tempoh waktu tertentu. Ini bagi memastikan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan dalam isu tiket ini dan sekali gus menstabilkan harga di pasaran.

"SAFTTA menyeru semua TA berlesen untuk mematuhi harga yang disyorkan dan diperakui oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan tidak cuba menjadi jaguh dengan menjual pakej dengan harga rendah dan kemudiannya meminta jemaah menambah harga apabila dekat dengan waktu penerbangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 5:17 PM