PELAYAN kedai makan di Medan Selera Penghulu Cantik, Seremban menghantar air suam kepada pelanggan.
PELAYAN kedai makan di Medan Selera Penghulu Cantik, Seremban menghantar air suam kepada pelanggan.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Caj maksimum untuk air suam adalah 20 sen dan penjualan sehingga RM2 disifatkan sebagai melampau serta menekan pelanggan.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, caj minuman air suam ini diletakkan pada kadar paling minimum iaitu 20 sen saja.

Pada masa sama, beliau sedang berusaha untuk mencadangkan supaya air suam atau air kosong ini diberikan secara percuma di restoran terpilih rangkaian Presma.

"Walaupun kita mempunyai kos untuk air suam ini seperti kos servis mesin penapis air dan sebagainya, namun kita cuma untuk menyerap segala kos berkenaan demi keselesaan pelanggan.

"Tindakan pengusaha yang mengenakan caj air suam sehingga RM2 itu adalah sangat melampau dan terlalu tinggi.

"Itu keterlaluan, hanya dengan air suam dikenakan sehingga RM2, saya harap tidak ada ahli Presma yang mengenakan caj sedemikian," katanya.

Mengulas lanjut berhubung cadangan air suam percuma, beliau berkata, cadangan itu timbul apabila ada permintaan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terhadap Presma.

Menurutnya, Presma melihat ia satu bentuk cadangan yang baik dan sedang berusaha untuk merealisasikannya di rangkaian restoran terpilih.

"Apa saja kepentingan untuk pelanggan, kita akan cuba buat dan realisasikan walaupun ada kos untuk cadangan itu, tidak mengapa.

"Saya mengharapkan bahawa ia dapat direalisasikan tidak lama lagi selepas semua kertas cadangan ini dipersetujui dan selesai di peringkat Presma," katanya.

PENIAGA, Sri Kartina Thalib, 40, menyediakan air kosong secara percuma kepada pelanggan yang datang ke kedai makannya di Medan Selera Sri Bayu,  Batu 4, Port Dickson.
PENIAGA, Sri Kartina Thalib, 40, menyediakan air kosong secara percuma kepada pelanggan yang datang ke kedai makannya di Medan Selera Sri Bayu, Batu 4, Port Dickson.

'Kalau nak caj pun biarlah berpada-pada'

Pengusaha kedai makan di negeri ini berpendapat mereka berhak mengenakan caj bagi air suam serta air kosong, namun harga yang ditetapkan biarlah berpatutan dan masuk akal.

Bagaimanapun tinjauan mendapati kebanyakan pengusaha restoran di sekitar Seremban dan Port Dickson tidak mengenakan caj untuk air suam atau air kosong yang diminta pelanggan.

Siti Nor Ain Mohd Sin, 34, berpendapat, harga yang wajar dikenakan adalah 20 sen atau paling mahal 50 sen jika tetap mahu mengenakan caj bagi air berkenaan,

"Ada pelanggan datang dan minta air suam, memang saya tak caj. Kalau mahu kenakan bayaran, biarlah berpada-pada kerana bagi saya harga sehingga RM2 untuk segelas air suam memang tidak wajar.

"Jika pelanggan datang beramai-ramai dan minta air suam, saya caj 20 sen sebab cawan perlu dibasuh. Kebiasaannya peniaga kenakan bayaran paling tinggi pada 50 sen sahaja," katanya, semalam.

Beliau mengulas tindakan tidak wajar seorang pemilik premis makanan di Port Dickson yang diambil tindakan oleh pihak berkuasa selepas mengenakan caj RM2 bagi segelas air suam.

Tinjauan wartawan di sekitar daerah itu juga mendapati sudah banyak premis makanan yang menyediakan 'mesin air suling' yang diberikan secara percuma namun pelanggan perlu melayan diri.

Peniaga di Medan Selera Penghulu Cantik, Rosmawati Abdul Rahim, 46, berkata, pengusaha kedai makan perlu berpada-pada meletakkan harga makanan dan minuman lebih-lebih lagi jika menyewa dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengenakan caj sewa jauh lebih murah.

"Saya berniaga di sini hampir 20 tahun dan tidak pernah mengenakan caj air suam atau air kosong walaupun pelanggan minta 10 gelas. Tiada masalah jika mahu caj, namun biarlah berpatutan.

"Medan selera ini di bawah pengurusan PBT dan sewanya lebih murah. Jadi tidak wajar mengenakan caj mahal bagi harga makanan atau minuman," katanya.

Pemilik restoran di Seremban 2, Shahrul Iswan Zailan, 36, pula berkata, sejak membuka restoran empat tahun lalu, dia sememangnya tidak mengenakan sebarang caj untuk air suam dan air kosong kepada pelanggan.

"Di setiap meja makan saya akan sediakan sebotol air kosong dan jika tidak cukup, pelanggan boleh ambil secara percuma di mesin air disediakan.

"Niat saya sambil berniaga mahu bersedekah. Tapi kalau peniaga lain nak caj pun tiada masalah, cuma harganya perlulah bersesuaian," katanya.

Terdahulu, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dilaporkan menerima aduan mengenai peniaga di sebuah medan selera di Port Dickson yang mengenakan caj air suam RM2.

Susulan aduan berkenaan, MPPD dikatakan tidak akan memperbaharui lesen peniaga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 10:00 AM