Hamzah beramah mesra bersama Ahli Jawatankuasa PRESMA ketika mengadakan kunjungan dan perbincangan di Putrajaya. FOTO Samadi Ahmad
Hamzah beramah mesra bersama Ahli Jawatankuasa PRESMA ketika mengadakan kunjungan dan perbincangan di Putrajaya. FOTO Samadi Ahmad
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menafikan restoran dimiliki ahli persatuan itu mengenakan caj melampau.

Presiden PRESMA Ayoob Khan Muhamad Yakub berkata, sejak lebih dua tahun lalu, harga yang dikenakan di 10,000 premis dimiliki 4,000 ahli di bawah persatuan itu masih sama dan berpatutan.

"Sekiranya harga makanan di restoran milik ahli persatuan ini dinaikkan harga tidak kira 1 sen atau 20 sen pun, tidak lama selepas itu pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan datang memeriksa.

"Pengguna memang ada hak untuk mengadu kepada KPDNKK malah, Malaysia ada undang-undang anti pencatutan yang perlu dipatuhi semua peniaga sekali gus tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga melampau," katanya pada sidang media pertemuan PRESMA bersama KPDNKK di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pada 15 April lalu, seorang Menteri dilaporkan menegur pengusaha restoran mamak yang mengenakan caj melampau ke atas teh tarik dan roti canai.

Ayoob Khan berkata, sekiranya ada dalam kalangan ahlinya yang melanggar peraturan ditetapkan oleh KPDNKK, mereka akan dilucutkan keahlian daripada persatuan itu.

Malah, katanya, jika ada dakwaan mengenai ada premis mengenakan caj melampau, pengguna boleh mengemukakan bukti kepada persatuan itu.

Berdasarkan harga ditetapkan KPDNKK, purata bagi harga roti canai antara RM1.20 hingga RM1.40 manakala, teh tarik ialah antara RM1.20 hingga RM1.90.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 8:41 PM