Premis Nombor 10, yang tular kerana menjual harga makanan dan minuman mahal yang menimbulkan kemarahan pelanggan itu tutup ketika tinjauan NSTP di Medan Selera Bayu, Port Dickson di sini tadi. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Premis Nombor 10, yang tular kerana menjual harga makanan dan minuman mahal yang menimbulkan kemarahan pelanggan itu tutup ketika tinjauan NSTP di Medan Selera Bayu, Port Dickson di sini tadi. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Tindakan seorang peniaga makanan di Medan Selera Bayu di sini, yang didakwa meletakkan harga melampau bagi makanan dan minuman dijual akhirnya mengundang bala.

Ini berikutan sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertindak melakukan siasatan sebelum mengenakan kompaun terhadap peniaga terbabit.

Tinjauan wartawan semalam mendapati premis itu ditutup dan usaha mendapatkan maklum balas peniaga terbabit gagal.

Beberapa peniaga ditemui berkata, peniaga premis makanan yang dikenakan tindakan KPDNHEP itu baru berniaga sejak tiga bulan lalu.

Salah seorang peniaga yang enggan namanya didedahkan berkata, rata-rata peniaga lain yang berniaga di medan selera itu terkena tempias selepas tindakan menjual makanan pada harga tidak munasabah itu tular di media sosial.

"Kami semua dapati bilangan orang luar atau pengunjung yang singgah menjamu selera di medan selera ini berkurangan semalam. Mungkin mereka beranggapan kami semua menjual pada harga mahal.

"Tanggapan itu tidak tepat berikutan ada antara kami sudah berniaga sejak lebih 20 tahun lalu. Dakwaan peniaga di sini menjual makanan dengan harga 'yahudi' (mahal) tidak boleh diterima," katanya semalam..

Menurutnya, isu itu tular sejak seminggu lalu apabila beberapa pelanggan memuatnaik kecaman dalam media sosial.

Sementara itu, Ketua KPDNHEP Cawangan Port Dickson, Norehan Rosli ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan sebaik aduan diterima daripada orang ramai.

"Tindakan pemeriksaan sudah dilakukan berdasarkan aduan diterima melalui pemeriksaan mengejut. Seorang peniaga gerai sudah dikompaun atas kegagalan peniaga tidak meletakkan tanda harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pecatutan 2011.

"Namun peniaga itu tidak boleh dikompaun kerana menjual pada harga mahal berikutan ia menjadi hak peniaga. Bagaimanapun pelanggan harus bijak memilih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 3:46 PM