GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Sebanyak 20 notis dikeluarkan terhadap peniaga premis makanan dan minuman dalam Ops Catut 8.0 Air Kosong di Pahang dari 1 Januari hingga 31 Mac lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang Datuk Mark Ujin berkata, berdasarkan pemeriksaan, caj air kosong yang dikenakan kepada pelanggan antara 10 hingga 50 sen.

Katanya, peniaga yang menerima notis itu diberi tempoh masa selama dua hingga lima hari bekerja untuk memberikan maklumat berkaitan caj terbabit.

"Antara alasan yang diberikan peniaga mengenakan caj air kosong pada harga itu terhadap pelanggan ialah kos elektrik," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bermula 7 April hingga esok, beliau berkata, Bahagian Penguatkuasaan kementerian itu mengadakan Ops Catut 8.0 Air Kosong di seluruh negeri itu.

Katanya, operasi itu lebih kepada pemeriksaan bukan sahaja harga air kosong tetapi harga nescafe tarik dan teh tarik.

"Kita menyasarkan pelbagai kategori premis antaranya restoran mewah, restoran makanan segera, restoran francais, kedai makan dan warung.

"Operasi itu susulan aduan yang diterima daripada orang ramai berkaitan harga air kosong yang terlalu mahal," katanya.

Sebelum ini dilapor, KPDNHEP mengeluarkan 84 notis kepada peniaga premis makanan dan minuman di seluruh negara kerana mengenakan caj air kosong melebihi RM1 segelas dan Kelantan merekodkan kes paling tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 4:24 PM