Mohd Amin Jalil


Seremban: Peniaga makanan dan minuman di Port Dickson diharap tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara melampau walaupun pada musim perayaan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tindakan segelintir peniaga di daerah pelancongan itu dengan menjual air suam pada harga RM2 segelas adalah tidak munasabah.

"Saya berharap peniaga khususnya di Port Dickson supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan minuman walaupun pada masa cuti umum atau perayaan.

"Saya harap kita dapat kekalkan kemesraan yang selalu dikatakan agar mereka (pengunjung) tidak serik untuk datang lagi ke Port Dickson.

"Jangan jadikan ini sejarah hitam bagi pengunjung yang datang ke Port Dickson," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pertemuan Mesra Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Terdahulu, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dilaporkan menerima aduan mengenai peniaga di sebuah medan selera di Port Dickson yang mengenakan caj air suam RM2.

Susulan aduan berkenaan, MPPD dikatakan tidak akan memperbaharui lesen peniaga berkenaan.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berharap kes berkenaan tidak berulang demi menjaga Port Dickson sebagai destinasi pelancongan terkenal.

"Saya berharap peniaga bersikap lebih bertanggungjawab dalam menjaga hubungan dengan pengunjung.

"Usah bersikap mengejar keuntungan kerana masih ada masa panjang untuk menjalankan perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 6:15 PM