FADILLAH menghadiri Majlis Ramah Tamah Zon 4 N48 Satok, Kampung Segedup dan Sungai Maong, serta Perasmian Perpustakaan Desa di  Dewan Kampung Segedup Kuching, hari ini. FOTO Nadim Bokhari
FADILLAH menghadiri Majlis Ramah Tamah Zon 4 N48 Satok, Kampung Segedup dan Sungai Maong, serta Perasmian Perpustakaan Desa di Dewan Kampung Segedup Kuching, hari ini. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu perlu memilih parti yang mampu membawa kestabilan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu 11 Mei depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini Malaysia amat memerlukan kestabilan agar tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada pembangunan khususnya mengukuhkan ekonomi negara.

"Pengundi (DUN Kuala Kubu Bharu) sudah tentu bijak... pilihlah untuk kestabilan kerana sekarang Malaysia amat memerlukannya," katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Tamah Zon 4 Satok serta Perasmian Perpustakaan Desa diDewan Haji Kamarudin, Kampung Segedup, di sini, hari ini.

Mengenai kempen sepanjang PRK itu, Fadillah yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan terbabit secara langsung, tetapi bersedia memberi sokongan.

"Tiada asas bagi GPS untuk membabitkan diri sepenuhnya kerana kita hanya bergerak di Sarawak.

"Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah memadai untuk menggerakkan jentera mereka," katanya.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan pihak yang berkempen agar mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak keselamatan.

"Berkempenlah secara berhemah, jangan sesekali cetuskan sesuatu yang membabitkan sensitiviti yang boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan kita," katanya.

PRK Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung pada 11 Mei depan bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH selaku penyandang kawasan itu meletakkan Pang Sock Tao yang berhadapan Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 5:11 PM