NOORUL Hassan
NOORUL Hassan

Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan bermula 1 April ini menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan pengguna dan peniaga.

Ada yang menganggap ia akan membebankan pengguna namun, dalam masa sama ramai mempercayai bahawa pendapatan yang diperoleh hasil kutipan cukai itu akan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Pengusaha restoran adalah antara golongan yang tersepit dengan pelaksanaan GST kerana menerima pelbagai reaksi dalam kalangan pelanggan.

Setakat ini, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menegaskan bahawa tidak timbul isu kenaikan harga makanan serta minuman namun, ia mungkin menimbulkan rasa tidak percaya dalam kalangan pelanggan.

Ikuti temu bual dengan presidennya, Noorul Hassan Saul Hameed dengan wartawan Syarifah Dayana Syed Bakri mengenai reaksi terhadap pelaksanaan GST mulai April ini.

Apa pandangan anda mengenai pelaksanaan GST yang akan bermula April ini?

Mewakili pemain dalam industri makanan dan minuman, saya mengalu-alukan pelaksanaan GST. Ini kerana ia dapat memberi pulangan yang lebih menjamin dan teratur untuk jangka masa panjang.

Ia juga akan dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk infrastruktur yang lebih baik serta pelbagai lagi kemudahan untuk kesenangan rakyat.

Namun, kami yang akan bertindak selaku pengutip cukai ini adakalanya bimbang dengan reaksi pelanggan dan meminta kerajaan untuk menjalankan lebih banyak kempen kesedaran bagi memastikan rakyat faham mengenai GST dan bagaimana ia akan berfungsi.

Kami tidak mahu dilabel sebagai mengaut keuntungan berganda sedangkan caj tambahan yang dikenakan itu tidak masuk ke dalam akaun kami sebaliknya ia diserahkan semula kepada kerajaan.

   

Bagaimana tahap pemahaman dan penerimaan orang ramai terhadap GST?

Secara jujur, saya menganggap bahawa tahap pemahaman orang ramai terhadap GST masih kabur. Masih ramai yang tidak faham apa itu GST dan ia berlaku mungkin kerana ia masih belum bermula.

Saya yakin bahawa bermula April nanti, tahap pemahaman pengguna akan berubah.

Namun, kerajaan perlu menjalankan kempen secara telus dan menyatakan secara terang apa barangan yang dikenakan cukai dan dikecualikan cukai.

   

Adakah pelaksanaan GST pada tahun ini sesuai dijalankan?

Selama ini, peniaga sudah mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) namun, ia tidak dinyatakan ketika pembayaran dibuat dan diserap dalam harga produk.

Maka, pelanggan tidak menyedari bahawa mereka sudahpun membayar cukai untuk setiap barang yang dibeli atau perkhidmatan yang digunakan.

Namun, GST menggunakan kaedah berbeza di mana pengguna hanya perlu membayarnya untuk barang tertentu dan ia dibuat secara telus ketika proses pembayaran dilakukan.

Saya berpendapat GST sesuai dilaksanakan pada tahun ini, namun kerajaan perlu mengambil langkah proaktif untuk memastikan rakyat faham mengenai sistem ini dan kerajaan dapat mengekalkan keyakinan rakyat.

   

Apakah faktor kemungkinan yang menyebabkan segelintir rakyat negara ini enggan menerima GST?

Walaupun rakyat dimaklumkan bahawa kutipan cukai itu untuk disalurkan semula ke arah manfaat bersama, namun kerajaan perlu membuktikan bahawa setiap kutipan berkenaan benar-benar diterjemahkan dalam bentuk infrastruktur yang lebih baik atau kestabilan kos sara hidup.

Sekiranya ia dapat dilakukan dengan baik, maka rakyat tidak akan keberatan untuk terus membayar GST kerana mereka mendapat semula manfaat hasil kutipan cukai yang dikenakan.

Kerajaan perlu memainkan peranan secara serius supaya tidak ada unsur salah guna kuasa dalam menguruskan hasil kutipan cukai dengan amanah.

Rakyat mahukan pengurusan yang telus dan berintegriti kerana ia membabitkan sejumlah wang yang besar.

   

Ada pihak mendakwa harga makanan dan minuman di restoran akan dinaikkan selepas GST. Adakah ia benar?

Kenyataan ini tidak benar kerana kami tidak ada hak untuk menaikkan harga makanan atau minuman sesuka hati.

Namun, selepas pelaksanaan GST kelak, kami perlu mengenakan cukai tambahan sebanyak enam peratus untuk perkhidmatan dan bukan atas harga makanan.

Hal ini yang mengakibatkan salah faham dalam kalangan pelanggan kerana mereka menyangka bahawa caj tambahan berkenaan disebabkan kenaikan harga makanan sebaliknya ia dikenakan berikutan perkhidmatan yang diberi oleh kami.

Kami hanya bertindak selaku pengutip cukai dan ia kemudiannya akan diserahkan kepada kerajaan.

Kos untuk menjalankan perniagaan dapat dikurangkan kerana kebanyakkan bahan yang dibeli oleh pengusaha makanan adalah berkadar kosong dan semua barang yang di beli yang ada GST boleh dituntut semula. Oleh itu, kos pengendalian restoran tidak banyak berubah, malah dalam hal-hal atau keadaan tertentu ianya lebih menjimatkan.

Di samping itu, penguasaha restoran perlu membuat ‘costing’ untuk memastikan harga jualan mereka masih lagi secara relatifnya mampu bersaingan dan tidak menambah harga makanan pembeli. Ini semua terpulang kepada peniaga sendiri. Contoh air minuman yang sekarang dibeli andainya dulu RM1.20 adalah termasuk cukai jualan yang kita tidak boleh tuntut semula, tetapi di era GST harga minuman tersebut kenapa masih perlu kekal RM1.20 sedangkan elemen cukai dalam harga minuman itu boleh dituntut semula.

Maka, pelanggan seharusnya memahami tanggungjawab kami dan tidak menuduh kami sengaja menaikkan harga.

   

Apa kebimbangan utama dalam kalangan pengusaha restoran selepas pelaksanaan GST kelak?

Apa yang kami risaukan adalah pelanggan enggan membayar cukai enam peratus itu.

Ramai sedia maklum mengenai perkhidmatan restoran ‘mamak’ di seluruh Malaysia yang mesra pelanggan.

Maka, kami bimbang jika ada pelanggan yang enggan membayar GST yang dikenakan dan dalam masa sama, kami juga tidak mahu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pelanggan.

Ini kerana mereka mungkin menganggap bahawa cukai berkenaan dikira sebagai keuntungan peniaga sedangkan kami hanya bertindak sebagai ejen saja.

Kami menaruh harapan tinggi agar pelanggan dapat memberi kerjasama yang baik untuk membayar caj tambahan enam peratus itu dan ia hanya akan berlaku sekiranya mereka benar-benar faham bagaimana GST itu dilaksanakan.

   

Selain keengganan pelanggan untuk membayar GST, apakah lagi kebimbangan pengusaha restoran selepas GST dilaksanakan?

GST hanya dikenakan ke atas perniagaan yang mencapai pendapatan tahunan sekurang-kurangnya sebanyak RM500,000.

Ini bermakna pengusaha kedai makan yang tidak mencapai pendapatan yang ditetapkan tidak akan mengenakan GST.

Ia secara tidak langsung menjadikan pelanggan akan beralih arah ke gerai yang lebih kecil sekiranya mereka mahu mengelak GST.

Ia mungkin menjejaskan sedikit operasi kami namun, kami yakin setiap pelanggan mempunyai pilihan dan kami akan terus memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

   

Pada pandangan anda, apakah langkah yang perlu diambil kerajaan bagi mengelakkan sebarang masalah ketika GST mula dilaksanakan?

Kerajaan perlu berwaspada dengan penyelewengan yang mungkin berlaku kerana dalam keadaan sekarang, banyak cara boleh digunakan untuk mengelak cukai.

Kerajaan perlu pastikan anggota penguatkuasa yang terlatih untuk mengekang penipuan di kalangan peniaga.

Saya percaya pada peringkat awal pelaksanaan GST, pelbagai masalah akan timbul kerana ia mengambil masa untuk membiasakan diri dengan sistem cukai ini.

Namun, dalam tempoh tertentu ia pasti mudah di atasi.

   

Di pihak PRESMA, apa langkah yang diambil untuk menggalakkan ahli persatuan mendaftar dalam kempen GST?

Setakat ini, PRESMA mempunyai 3,200 ahli di seluruh Malaysia dan lebih 90 peratus ahli sudah mendaftar.

Kami menjalin kerjasama rapat dengan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk kempen pendaftaran GST dan menggalakkan ahli untuk menyertai mana-mana sesi penerangan berkaitan GST dan bertanyakan soalan yang relevan dengan tugas kami sebagai pengendali restoran.

Walaupun ada ahli yang enggan mendaftar, kami tidak ada hak untuk memaksa mereka.

Sebahagian kecil pengusaha restoran mengharapkan kerajaan menangguhkan pelaksanaan GST dan memilih untuk 'tunggu dan lihat'. Kami berkali-kali memaklumkan bahawa ia tidak akan ditangguh lagi kerana kerajaan sudah membelanjakan peruntukan yang banyak untuk menjalankan kempen selain mengemas kini sistem sedia ada.

   

Apa nasihat anda untuk pelanggan yang mengunjungi restoran mamak selepas GST dilaksanakan nanti?

Untuk memastikan pengusaha restoran menjalankan tanggungjawab mereka sebagai ejen pengutip cukai, pelanggan dinasihatkan untuk meminta resit selepas membuat pembayaran.

Ini bagi memastikan pengusaha restoran benar-benar mengutip bayaran tambahan itu sebagai cukai dan bukan untuk dimasukkan ke poket sendiri.

Pastikan resit itu menyatakan ‘termasuk GST’ untuk mengesahkan bahawa bayaran tambahan itu adalah GST.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:37 AM