KERATAN akhbar muka depan Harian Metro hari ini.
KERATAN akhbar muka depan Harian Metro hari ini.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menyifatkan cara menangani isu caj melampau penjualan air kosong di kedai makan dan restoran memerlukan kebijaksanaan pelanggan selain penguatkuasaan.

Presiden Presma Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, kebiasaannya tanda harga makanan dan minuman di sesebuah premis sudah dipamerkan atau tertera di papan tanda.

Menurutnya, pelanggan boleh memilih untuk tidak meneruskan menjamu selera di sesuatu premis jika menganggap harga ditawarkan tidak munasabah.

"Boleh guna logik akal, semua itu sudah tertera dalam menu. Pelanggan juga sudah bijak. Sebagai pengguna kita ada hak, jika lihat kedai itu jual mahal, tak payahlah kita pergi.

"Kecualilah jika tidak tertera dan tidak dipamerkan tanda harga, semasa bayar baharu terkejut dicaj melampau.

"Itu dah automatik sabit kesalahan dan pengguna atau pelanggan berkenaan boleh segera membuat aduan kepada pihak berkuasa," katanya mengulas laporan muka depan Metro Ahad hari ini bertajuk Air Kosong Cekik Darah.

Laporan memetik, sepatutnya air kosong dijual tidak lebih 30 sen namun 84 premis makanan di seluruh negara dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjual minuman itu pada harga melebihi RM1 segelas.

Sehubungan itu, laporan berkenaan dilaporkan memetik desakan orang ramai supaya kerajaan lebih bertegas dalam melindungi pengguna.

Mengulas lanjut, Jawahar Ali berkata hakikatnya meniaga juga membuat kebajikan dan harga melebihi RM1 untuk segelas air kosong itu sudah lari dari falsafah itu.

"Di United Kingdom (UK) ada klausa menunjukkan bahawa premis berlesen perlu membekalkan air percuma kepada pelanggan.

"Cuma tidak tahulah boleh ke disesuaikan untuk kita sebab jurang perbezaan kos sara hidup di sana adalah tinggi berbanding di sini," katanya.

Beliau mengakui Presma yang mempunyai lebih 4,500 ahli dan 12,000 rangkaian restoran di seluruh negara, rata-ratanya ada kenakan caj untuk air kosong.

Katanya, ia terutamanya restoran yang menggunakan alat penapis air pelbagai jenama di pasaran.

"Setiap air yang kita bekalkan adalah air yang bertapis. Caj antara 20 sen hingga 30 sen rasanya memadai dah. Tetapi jika lebih daripada nilai berkenaan, itu tidak munasabah seperti melebihi RM1 segelas yang dilaporkan media.

"Contohnya jika saya pergi restoran dilabel 'high-end', kena caj terlalu mahal untuk air kosong, memanglah ada rasa terkilan juga. Apa istimewa air kosong itu, gelas sama sahaja, rasa sama sahaja, mungkin suasana sahaja lain," katanya.

Justeru beliau berkata, memang ada keperluan untuk KPDNHEP memantau perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 3:17 PM