(DARI kiri) Faisal, Wilkin, Lee Tuck, Khuzaimi dan Aguero antara 23 pemain skuad negara ke Piala AFF. FOTO ASWADI ALIAS
(DARI kiri) Faisal, Wilkin, Lee Tuck, Khuzaimi dan Aguero antara 23 pemain skuad negara ke Piala AFF. FOTO ASWADI ALIAS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Prestasi cemerlang dipamerkan dua pemain naturalisasi, Lee Tuck dan Sergio Aguero membolehkan nama mereka 'melekat' dalam senarai akhir 23 pemain skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala AFF 2022, minggu depan.

Berdasarkan senarai nama dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi, dua tonggak Sri Pahang itu menjadi taruhan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon untuk menguatkan lagi pasukan Harimau Malaya.

Menurut kenyataan itu, tonggak kacukan, Dion Cools tidak termasuk dalam senarai akhir 23 pemain kerana mempunyai urusan peribadi.

"Lima pemain yang sebelum ini berada dalam senarai 28 pemain dipanggil ke kem latihan pusat sejak 29 November lalu tidak berada dalam senarai akhir iaitu penjaga gol, Azri Ab Ghani; Kogileswaran Raj, Ramadhan Saifullah Usman, Aliff Izwan Yuslan serta Dion Cools (urusan peribadi)," katanya.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Yangon, Isnin ini bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan B bertemu Myanmar di Stadium Thuwunna pada Rabu.

Seterusnya, skuad Harimau Malaya akan bertemu Laos pada perlawanan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 24 Disember dan hari berikutnya terbang ke Hanoi untuk perlawanan ketiga menentang Vietnam di Stadium My Dinh, 27 Disember.

Selepas itu, anak buah Pangon akan kembali beraksi pada perlawanan terakhir kumpulan bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Januari tahun depan.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari 2023 dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023.

SENARAI 23 PEMAIN HARIMAU MALAYA

Penjaga gol: Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Syihan Hazmi Mohamed, Rahadiazli Rahalim

Pertahanan: Sharul Nazeem Zulpakar, Quentin Cheng, Fazly Mazlan, Khuzaimi Piee, Azam Azmi Murad, Dominic Tan

Pemain tengah: Brendan Gan, Mukhairi Ajmal Mahadi, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, Nor Hakim Hassan, Stuart Wilkin, David Rowley, V Ruventhiren, Nur Shamie Iszuan Amin

Penyerang: Darren Lok, Faisal Halim, Lee Tuck, Sergio Aguero, Haqimi Azim Rosli, Safawi Rasid

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 5:10 PM