COOLS berkata ketibaan awalnya ke kem latihan pada kali ini memberi kelebihan kepada jurulatih Harimau Malaya Pan-gon merencanakan strategi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
COOLS berkata ketibaan awalnya ke kem latihan pada kali ini memberi kelebihan kepada jurulatih Harimau Malaya Pan-gon merencanakan strategi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika layak ke Piala Asia 2023, itu adalah hadiah hari jadi yang terbaik buat pertahanan negara Dion Cools.

Cools yang menganjak usia 26 tahun semalam lebih rela menunggu lebih lama 'hadiah' hari jadinya pada kempen kelayakan Piala Asia 2023 yang akan membuka tirai Rabu ini dengan memastikan pasukan negara mampu mencipta keputusan positif kelak.

Menyedari perkara terbabit bukannya mudah direalisasikan, bekas bintang muda Club Brugge itu akan memastikan bahagian terakhir pasukan tidak mudah dibolosi dan pada masa sama akan membantu pasukan negara mencipta gol.

"Saya harap kami boleh melayakkan diri dan segala-galanya akan menjadi sempurna…iaitu hadiah hari jadi sebenar untuk saya ketika itu.

"Misi sekarang adalah mahu mencipta keputusan positif pada kempen kelayakan Piala Asia 2023. Itu perkara yang menjadi keutamaan saya sekarang," katanya.

Selain itu, Cools berkata ketibaan awalnya ke kem latihan pada kali ini memberi kelebihan kepada jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-gon merencanakan strategi seterusnya memastikan sesi latihan berjalan lancar.

Berkaitan namanya terus menjadi pilihan Pan-gon pada senarai akhir pasukan, Cools menjelaskan perkara terbabit tidak memberi kelebihan kerana tetap perlu bersaing dengan pemain lain untuk membarisi kesebelasan utama.

"Semua pemain beraksi dengan baik dan menunjukkan komitmen tinggi. Oleh itu, tiada kelebihan untuk pemain kerana mereka tetap perlu bersaing untuk mendapatkan tempat," katanya.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya mencatat dua kemenangan apabila membenam Brunei 4-0 sebelum menundukkan Hong Kong 2-0 dalam perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.

Perlawanan persahabatan terbabit penting dalam rangka persiapan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2023.

Skuad Harimau Malaya yang diletakkan dalam Kumpulan E mengharungi perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 5:04 PM