DOMINIC (belakang) berkata, tiada pemain yang menganggap tempat mereka dalam kesebelasan utama negara ‘selamat’. FOTO ASWADI ALIAS
DOMINIC (belakang) berkata, tiada pemain yang menganggap tempat mereka dalam kesebelasan utama negara ‘selamat’. FOTO ASWADI ALIAS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan negara Dominic Tan bersedia menggalas tanggungjawab besar sebagai 'penjaga' utama kubu skuad Harimau Malaya pada saingan Piala AFF 2022 yang akan membuka tirai pada minggu depan.

Dominic berkata, walaupun aksi di pentas Piala AFF 2022 kali ini tanpa kehadiran pertahanan utama negara Dion Cools namun dia tetap percaya pemain lain juga mempunyai kualiti yang baik di bahagian pertahanan.

Katanya, penyokong bola sepak tanah air seharusnya memberikan kepercayaan kepada barisan pemain yang dipilih oleh pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon dalam memastikan pasukan negara mampu meraih keputusan positif kelak.

"Saya rasa ini adalah skuad yang baik dan pemain-pemain yang ada kali ini harus bekerjasama untuk berikan yang terbaik pada Piala AFF akan datang.

"Saya lihat kami sentiasa menunjukkan peningkatan dan dua perlawanan persahabatan sebelum ini membuktikan perkara itu," katanya, ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Sementara itu, dia yang beraksi bersama pasukan Sabah FC berkata, tiada pemain yang menganggap tempat mereka dalam kesebelasan utama negara 'selamat' sekali gus memerlukan komitmen tinggi untuk membuktikan keupayaan kepada barisan kejurulatihan.

"Setiap perlawanan kita dapat lihat perkara yang baik dan juga buruk, apa yang penting adalah barisan kejurulatihan akan menganalisis dan kemudian fokus terhadap kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Persaingan untuk merebut tempat sangat tinggi kerana semua pemain mahu beraksi dalam skuad utama sekali gus perlu bekerja keras bagi memastikan diturunkan pada perlawanan kelak," katanya.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Yangon, Isnin ini bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan B bertemu Myanmar di Stadium Thuwunna pada Rabu.

Seterusnya, skuad Harimau Malaya akan bertemu Laos pada perlawanan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 24 Disember dan hari berikutnya terbang ke Hanoi untuk perlawanan ketiga menentang Vietnam di Stadium My Dinh, 27 Disember.

Selepas itu, anak buah Pan Gon akan kembali beraksi pada perlawanan terakhir kumpulan bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Januari tahun depan.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari 2023 dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 2:02 PM