HASRAT terpendam, Amir ingin berduet dengan Judika.
HASRAT terpendam, Amir ingin berduet dengan Judika.
Norhayati Nordin

Amir Masdi, nama penyanyi lelaki yang kini menjadi sebutan dan pujaan ramai gadis serta wanita. Vokal 'jantan' Amir cukup menarik perhatian apabila dia menyanyikan lagu rock dengan cara tersendiri.

Enam tahun tanpa jemu menyerlahkan bakat nyanyiannya, Amir yang pernah dinobatkan juara Akademi Fantasia 2016 (AF2016) itu mengharungi cabaran berliku untuk melakarkan namanya di persada industri seni.

Pernah dianggap juara AF yang 'sendu' pada awal kemunculan dulu, siapa sangka rezeki Amir atau nama sebenarnya, Amir Syazwan Masdi pada masa kini berada di puncak populariti selepas meledak dengan lagu Kau Sakti pada 2019.

Mengulasnya, Amir berkata, dia sentiasa percaya dan yakin bahawa kejayaan dalam kehidupan seseorang itu sudah ditakdirkan Yang Maha Esa. Jelasnya, kunci ke arah itu hanya dengan usaha berterusan.

"Alhamdulillah, sejak 2016 ketika mula membabitkan diri dalam industri seni, saya tak pernah ada rasa kecewa dalam berkarya kerana minat. Bagi saya, sentiasa teruskan mencuba.

"Lagi pula, apa yang saya kejar bukan populariti. Tapi, sekadar berkongsi minat berkarya kepada pendengar muzik. Saya mahu lagu yang dihasilkan mendapat sambutan baik mereka (pendengar).

"Bagaimanapun, syukur apabila ada impian saya sudah dimakbulkan Allah. Namun, saya tidak boleh berasa selesa dengan apa yang diperoleh sekarang. Saya kena tingkatkan usaha untuk pergi lebih jauh lagi," katanya.

Menurut Amir yang merakam semula lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah nyanyian asal Ella baru-baru ini berkata, dia ada dua impian besar ingin dimilikinya pada tahun depan dalam pendidikan dan karier.

"Pada 2023 akan datang, insya-Allah saya menyimpan impian untuk hiburkan peminat dengan konsert solo yang mendendangkan semua lagu saya. Insya-Allah, tahun depan saya sudah ada lagu yang cukup untuk menjayakan sebuah konsert.

"Melihat ramai penyanyi yang berpeluang buat konsert sekarang, saya juga teringin. Siapa yang tiada keinginan untuk hiburkan peminat dengan lagu sendiri. Ditambah, saya juga pencipta lagu," katanya.

Mengulas hasratnya berduet dengan penyanyi dari Indonesia, Judika, selebriti berusia 26 tahun ini berkata, dia amat tertarik dengan kemantapan vokal penyanyi lagu Bukan Dia Tapi Aku itu. Katanya, Judika memiliki keunikan vokal tersendiri.

ANUGERAH Dekan, Amir kini mengikuti pengajian ijazah di UUM.
ANUGERAH Dekan, Amir kini mengikuti pengajian ijazah di UUM.

"Saya amat suka dengan vokal Judika. Apatah lagi, ketika dia menyampaikan sesebuah lagu itu,'semua rasa dan cerita' kita dapat. Sejujurnya, saya amat kagum dengan vokalnya yang menjadi inspirasi. Dia (Judika) penyanyi terbaik.

"Semoga saya akan ada peluang berduet dengannya suatu hari nanti. Selain itu, saya juga berharap tahun depan dapat menjalani acara konvokesyen di Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama rakan pegigiat seni yang lain," katanya.

Baru-baru ini, Amir yang masih berbaki satu semester pengajian, menjadi seorang daripada 28 penggiat seni yang menerima Anugerah Dekan bagi Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dari UUM.

AMIR mahu dendang semua lagu sendiri hibur peminat dengan konsert solo.
AMIR mahu dendang semua lagu sendiri hibur peminat dengan konsert solo.

Tak fikir cinta

Terpalit juga dengan gosip cinta baru-baru ini, Amir akui dia terkejut dengan cerita yang dianggap muncul secara tiba-tiba itu. Katanya, dia sendiri tidak pasti bagaimana ia boleh timbul.

"Selain fokus kepada pengajian di universiti, masa saya tertumpu kepada karier seni. Alhamdulillah, tawaran rezeki menyanyi diterima juga tidak putus. Jadi, saya tak mahu lepaskan sebarang peluang yang datang.

"Tapi, tak sangka pula tiba-tiba juga saya ada gosip cinta. Walaupun hanya 'kenen-kenen' peminat, namun cerita gosip itu tidak betul. Status saya, masih solo dan belum berpunya. Saya pun belum terfikir nak bercinta," katanya.

Menurut Amir, masih banyak yang ingin dicapainya dulu dalam karier termasuk membahagiakan ibu bapa. Katanya, dia juga tiada sasaran tertentu untuk mendirikan rumah tangga dan semua itu bergantung pada jodoh.

"Sejujurnya, saya juga belum terfikir lagi kalau saya nak calon jodoh lebih tua, lebih muda atau sebaya. Hingga kini, saya masih tidak memikirkan kriteria wanita pilihan hati. Saya ingin mencari kepuasan dan menimba pengalaman dalam karier dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 6:00 AM