UK’s dan Slam julung kali bergabung di atas satu pentas.
UK’s dan Slam julung kali bergabung di atas satu pentas.
Ridzuan Abdul Rahman


BAND ini sudah lama bergerak dalam industri muzik tanah air dan masing-masing mempunyai kekuatan sendiri dalam menarik peminat.

Bahkan populariti yang dikecapi turut melangkaui ke negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.

Bagaimanapun, UK's dan Slam yang kedua-duanya 'bernafas' menerusi sentuhan kreatif Saari Amri, kini ditampilkan bersama menerusi Concert UK'Slam Musical pada 3 Februari tahun depan.

Konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama AmirUKs Entertainment yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam ini pastinya menjadi berita yang ditunggu-tunggu peminat.

Amir berkata, apa yang dilakukan adalah bertujuan membuktikan pengalaman luasnya dalam seni yang diraih selama ini.

"Sebelum ini saya hanya menyanyi menghiburkan orang. Kini ia akan digunakan sepenuhnya untuk mengendalikan konsert pula.

"Dalam waktu sama, saya juga masih belajar dan tidak tahu semua. Alhamdulillah... saya bergabung dengan Bombbay yang berpengalaman kendalikan konsert besar sebelum ini.

"Bila dia ada untuk 'guide', buat saya yakin dengan pengalamannya. Apabila kami berbincang, akhirnya dapat kata putus bergabung bersama untuk konsert ini," katanya.

Menurutnya, dia pernah didatangi tawaran serupa sebelum ini, tetapi hanya bersifat separuh jalan.

"Ada yang datang berbincang, tapi selepas separuh jalan, batal. Saya pun tak memaksa. Jadi, saya hanya berminat buat dengan mereka yang benar-benar datang melabur.

AMIR guna pengalaman luas dalam seni dengan menceburi bidang penganjuran konsert.
AMIR guna pengalaman luas dalam seni dengan menceburi bidang penganjuran konsert.

"Namun, kuasa itu diberikan kepada kami berdua untuk menentukan arah tuju. Justeru UK's dan Slam jadi pilihan kerana nama kedua-duanya sungguh besar. Bila lagi nak buat kalau tiada peluang seperti ini.

"Kami yakinkan kepada semua peminat bahawa ia satu konsert yang sangat berlainan daripada konsert sedia ada. Sebab itu kami adakan gabungan," katanya.

Konsert ini tampil dengan beberapa segmen termasuk persembahan solo UK's dan Slam serta duet mereka di mana mereka akan bertukar menyanyikan lagu popular masing-masing.

"Walaupun satu genre, tapi perbezaan akan nampak dari segi vokal dan persembahan nanti. Penonton akan duduk kerana lagu kami melayan jiwa. Keseluruhan sebanyak 30 lagu akan ditampilkan," katanya.

Zamani pula menganggap gabungan mereka dengan UK's adalah sesuatu yang menarik untuk disajikan kepada peminat.

AMANI gembira dengan kelainan yang bakal ditampilkan dalam konsert.
AMANI gembira dengan kelainan yang bakal ditampilkan dalam konsert.

"Ia satu konsert berbeza. Selama ini Slam buat konsert solo, tapi kali ini bersama UK's. Kami akan tukar-tukar menyanyi lagu popular masing-masing dalam konsert ini.

"Walaupun kami sama satu genre muzik, tapi perbezaan akan nampak dari segi vokal dan persembahan nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 6:30 AM