NELAYAN Kuala Perlis  terkesan dengan pencerobohan nelayan  Kedah yang menjarah perairan Perlis untuk menjalankan aktiviti menangkap siput retak seribu secara haram. FOTO Aizat Sharif
NELAYAN Kuala Perlis terkesan dengan pencerobohan nelayan Kedah yang menjarah perairan Perlis untuk menjalankan aktiviti menangkap siput retak seribu secara haram. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif

Kangar: Jabatan Perikanan Negeri Perlis (JPNP) tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit bagi menangkap siput retak seribu di perairan negeri ini sejak 1986.

Pengarahnya, Sufian Ahmad berkata, lesen tangguk tunda spesies kerang-kerangan itu juga dibekukan bagi memelihara ekosistem marin dan langkah diambil berdasarkan Buku Dasar dan Prosedur Pelesenan Jabatan Perikanan Malaysia.

"Namun, kami terima aduan daripada kumpulan nelayan negeri ini, malah daripada ahli politik setempat mengenai kewujudan aktiviti penangkapan siput retak seribu yang menimbulkan implikasi sosial, khususnya dalam kalangan nelayan berlesen.

"Untuk itu, JPNP mengambil tindakan melakukan pemantauan di perairan negeri bersama agensi lain dengan lebih kerap dan berkala.

"Tahun lalu sahaja, 12 kes yang kami bawa ke mahkamah, membabitkan pelbagai kesalahan menangkap siput retak seribu termasuk penggunaan peralatan tidak dibenarkan sama sekali," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Perlis.

Sufian berkata, siasatan mendapati nelayan menangkap siput retak seribu itu dari Kedah yang diberi lesen tangkapan hasil laut itu di perairan Kedah dan Langkawi sahaja bermula 7 pagi hingga 7 malam.

"Namun apa yang terjadi, nelayan ini 'menterbalikkan' tempoh tangkapan itu dengan memasuki perairan Perlis pada 7 malam hingga 7 pagi bagi menangkap siput retak seribu.

"Mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan nelayan ini sebenarnya tahu syarat pelesenan dan apa yang mereka buat salah.

"Cuma, dakwa mereka siput retak seribu di perairan Kedah diancam kepupusan dan hampir tiada, sebaliknya di perairan Perlis masih banyak. Faktor itu yang mendorong mereka menceroboh ke sini," katanya.

LAPORAN Harian Metro, 25 Oktober 2022. FOTO Arkib NSTP
LAPORAN Harian Metro, 25 Oktober 2022. FOTO Arkib NSTP

Beliau sering berbincang dengan komuniti nelayan Perlis dan persatuan nelayan sedia ada untuk penyelesaian terbaik dalam menjamin hasil perikanan mencukupi.

Sementara itu, Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, pihaknya peka dengan situasi pencerobohan nelayan Kedah bagi aktiviti itu dan melaksana rondaan berkala.

"Perairan Perlis berkeluasan 378.30 kilometer (km) persegi dengan jarak pantai 16.89 km dari kawasan Sanglang hingga ke Kuala Perlis di kawasan Pulau Ketam.

"Sepanjang tahun ini, kami membuat 38 tangkapan mengikut Akta Perikanan 1985, yang mana 23 tangkapan babitkan bot menangkap siput retak seribu.

"Berdasarkan statistik, tangkapan akibat kesalahan ini daripada tahun ke tahun meningkat, yang mana tahun lalu 40 tangkapan dan 53 tangkapan hingga Oktober tahun ini," katanya.

Mohd Hashim berkata, pihaknya memandang serius isu itu kerana jika tidak dibendung, boleh merugikan sektor perikanan dan mengurangkan pendapatan nelayan di Perlis.

Katanya, APMM terus melakukan rondaan berkala bagi memastikan nelayan patuh undang-undang dan keselamatan mereka terpelihara.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 7:30 AM