EMPAT kru termasuk seorang tekong dalam sebuah bot ditahan APMM Zon Maritim Kuala Perlis kerana didapati melakukan aktiviti menangguk siput retak seribu tanpa kebenaran. FOTO Ihsan APMM Perlis
EMPAT kru termasuk seorang tekong dalam sebuah bot ditahan APMM Zon Maritim Kuala Perlis kerana didapati melakukan aktiviti menangguk siput retak seribu tanpa kebenaran. FOTO Ihsan APMM Perlis
Aizat Sharif

Kangar: Nelayan dari Kedah dilihat terus berdegil menjalankan aktiviti penangkapan siput retak seribu di perairan negeri ini meskipun sudah diberi amaran oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Dalam kejadian terbaru, empat kru termasuk seorang tekong dalam sebuah bot ditahan APMM Zon Maritim Kuala Perlis kerana didapati melakukan aktiviti menangguk siput retak seribu tanpa kebenaran.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, penahanan nelayan serta bot yang berpangkalan di Jeti Kuala Kedah dilakukan di kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika dari barat Sungai Berembang, Kuala Perlis, di sini sekitar 2.40 pagi hari ini.

Beliau berkata, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima maklumat awam sebelum mengerahkan bot ronda APMM yang melakukan rondaan rutin menerusi Op Aman/Op Benteng Laut di sekitar perairan Perlis segera ke lokasi.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati, terdapat seorang tekong dan tiga awak-awak bot yang berusia antara 38 hingga 46 tahun dalam bot itu.

"Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, enjin dan siput retak seribu sekitar RM100,960. Kru bot termasuk tekong, bot dan hasil tangkapan siput dibawa ke jeti APMM Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Mohd Hashim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11 (3) (C) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 4:20 PM