GAMBAR kenangan Faizal Husain dan anaknya, Nur Airis Hafeeya yang meninggal dunia setahun lalu. FOTO Ihsan Faizal Husain.
GAMBAR kenangan Faizal Husain dan anaknya, Nur Airis Hafeeya yang meninggal dunia setahun lalu. FOTO Ihsan Faizal Husain.
Redzuan Muharam


Sungai Petani: Hari ini, genap setahun pemergian Nur Airis Hafeeya Faizal yang meninggal dunia akibat terjatuh dari sebuah hotel di Tanjung Bungah, Georgetown, Pulau Pinang.

Meskipun sudah lama berlalu, Nur Airis Hafeeya masih dalam ingatan keluarga terutama ibu, Siti Norra Salleh, 45, dan bapa, Faizal Husain, 45.

Bercerita lanjut, Faizal yang menetap di Taman Bandar Perdana, di sini berkata, dia dan isteri amat sukar melupakan anak bongsu mereka itu dengan mudah.

Disebabkan itu, Faizal dan isteri tidak pernah ketinggalan menziarahi pusara anak mereka di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin, di sini, setiap hujung minggu daripada awal pemergiannya hingga kini.

"Boleh dikatakan setiap Sabtu dan Ahad, saya serta isteri akan ke pusara anak.

"Kami sentiasa terkenangkan arwah setiap kali lihat gambar atau hendak pergi makan-makan.

"Ketiadaannya juga menyebabkan kami sekeluarga tiada 'mood' untuk bercuti seperti dulu kerana macam tak lengkap pergi tanpanya (Nur Airis Hafeeya)," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Faizal, sehingga kini, masih ada jiran yang bertanyakan isteri perihal anaknya.

"Ada yang baru tahu Nur Airis Hafeeya sudah tiada dan tidak kurang juga yang menghantar mesej kepada isteri kerana teringat anak.

"Mungkin ramai teringatkannya kerana keletah dan sikap arwah yang peramah.

"Ikutkan saya dan isteri lagi terkesan namun kami sudah lepaskan dengan ikhlas.

"Cuma, barang milik arwah seperti gambar, beg sekolah, baju, basikal dan kasut depan rumah tidak terusik jadi rasa macam dia ada saja dengan kami.

"Saya juga cakap dekat anak jangan usik barang itu sampai saya tutup mata," katanya.

Bercerita lanjut, Faizal berkata, dia pernah tiga kali termimpi Nur Airis Hafeeya sejak pemergian anaknya itu.

"Mimpi pertama saya nampak arwah bermain di padang, saya ajak dia balik tetapi dia kata nak main.

"Kali kedua (mimpi) enam bulan lalu, saya terserempak dengan arwah lalu di bendang, dia senyum kemudian hilang dan baru-baru ini ada mimpi lagi.

"Lebih membuatkan saya terkenangkan anak adalah apabila melihat ada mural kanak-kanak perempuan di Batu Kawan yang wajahnya mirip arwah. Sudah lama ada dan masih ada sehingga kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 8:01 PM